4 radikal Bangladesh ditahan

4 radikal Bangladesh ditahan

DHAKA, Bangladesh, 13 Mei (AP) – Seorang ketua dan tiga anggota kumpulan radikal yang diharamkan di Bangladesh diberkas bersama-sama bahan-bahan membuat bom dan merancang melakukan sabotaj di beberapa kawasan di negara itu, menurut para pegawai keselamatan semalam.

Jumatul Mujahedeen Bangladesh(JMB) memperjuangkan kempen ganas yang menuntut Undang-Undang Syariah dan membentuk rangkaian besar sokongan sebelum diharamkan pada tahun 2005. Anggota-anggotanya yang diikat jamin atau di luar penjara kini cuba berkumpul semula, menurut Mufti Mahmud Khan, jurucakap bagi Batalian Tindakan Pantas elit anti jenayah yang telah membuat tangkapan-tangkapan terbaru itu.

Ketua kumpulan itu masa ini, Abdul Baten dan rakan sekutunya Monir Mollah telah diberkas di sebuah stesen bas di Dhaka, menurut Khan dan maklumat dari mereka telah membawa para pegawai keselamatan ke stesen kereta api tempat mereka memberkas Golam Kibria dan Mollah Roman, yang pergi ke Dhaka dari Chittagong. “Kami telah memberkas mereka dari Stesen Landasan Kereta api Kamlapur,” kata Khan lagi.

Ahli disyaki daripada kumpulan radikal yang diharamkan yang mana telah didakwa merancang untuk melakukan sabotaj dikawal oleh pegawai keselamatan di Dhaka, Bangladesh, Khamis lalu. – AP
Ahli disyaki daripada kumpulan radikal yang diharamkan yang mana telah didakwa merancang untuk melakukan sabotaj dikawal oleh pegawai keselamatan di Dhaka, Bangladesh, Khamis lalu. – AP

Batalion itu telah merampas bom api, bahan letupan dan bahan-bahan lain membuat bom yang ada pada simpanan keempat-empat mereka itu, tetapi Khan tidak memberi butiran tentang tindakan sabotaj yang disyaki dirancang oleh mereka. Lelaki-lelaki itu diperlihatkan kepada para wartawan pada taklimat media semalam tetapi maklumat sedikit yang lain tentang mereka telah didedahkan.

JMB ditubuhkan pada tahun 1998 oleh Shaikh Abdur Rahman, seorang guru agama berpendidikan di Arab Saudi. ia menjadi terkenal pada tahun 2001 apabila ia terlibat dalam konflik dengan sebuah kumpulan komunis pelampau di Dinajpur di utara Bangladesh.

Pada 7 Ogos 2005, ia telah meledakkan kira-kira 500 bom buatan sendiri hampir di 300 buah lokasi hampir serentak di seluruh negara sebagai sebahagian dari kempen yang menuntut pengenalan Undang-Undang Syariah. Kempen ganasnya melibatkan menyerang dan membunuh hakim-hakim dan polis dan mengancam wartawan-wartawan dan wanita yang tidak memakai tudung.