4 Rumah Hangus

4 Rumah Hangus

Oleh Fizah HAB

Gambar Yusrin Haji Junaidi dan Fizah HAB

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Empat buah rumah di Kampung Pudak, Mukim Kota Batu hangus dalam satu kebakaran petang ini menyebabkan seramai 37 orang daripada tiga buah keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mereka menerima panggilan kira-kira jam 3:30 petang dan hasil tindakan pantas pihak bomba dan juga orang ramai, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi D, Jabatan Bomba dan Penyelamat Laut, Awang Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi ketika ditemui berkata, 18 orang anggota dari tiga balai bomba termasuk Balai Bomba Sungai Kebun, Balai Bomba Pelancaran dan Bomba Laut menggunakan empat buah bot untuk memadamkan kebakaran. Berada di lokasi kejadian ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Setiausaha Tetap KHEDN, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Haji Idris bin Haji Mohd Ali, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman.

Api marak membakar empat buah rumah di Kampung Pudak, kelmarin
Api marak membakar empat buah rumah di Kampung Pudak, kelmarin

p01-2_20151021

Datin Paduka Hajah Adina menenangkan salah seorang mangsa kebakaran.
Datin Paduka Hajah Adina menenangkan salah seorang mangsa kebakaran.

Ketika ditemui Media Permata, Datin Paduka Hajah Adina berkata, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menghulurkan bantuan awal berupa pek makanan dan barangan keperluan asas seperti tilam dan selimut kepada 37 mangsa.

“Kami juga akan memberikan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Penolong Ketua Kampung Pudak, Awang Shahri bin Haji Durahim pula memberitahu, ini merupakan kejadian kebakaran pertama berlaku di kampung berkenaan sejak tahun 80an. Mangsa-mangsa kini menumpang sementara di rumah sanak saudara mereka.

ARTIKEL YANG SAMA