4 rumah, tadika musnah terbakar di Kg Sim Sim

4 rumah, tadika musnah terbakar di Kg Sim Sim

SANDAKAN, 26 Julai (Bernama) – Empat rumah dan sebuah tadika musnah dalam kebakaran di Jambatan 20, Kampung Buli Sim Sim dekat sini, hari ini.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan Anddre Andrew berkata tiga jentera dan tiga kenderaan utiliti bersama 23 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 2.14 Petang.

Katanya, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penduduk kampung, api dapat dikawal pada 2.58 petang daripada terus merebak ke rumah atas air yang masing-masing terletak bersebelahan.

Dengan bantuan penduduk kampung serta bekalan air dari laut, api dapat dikawal dengan cepat meskipun pihak bomba menghadapi kesukaran memadamkan api.

Ini adalah disebabkan oleh keadaan angin yang bertiup kuat, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan setakat ini punca kejadian masih disiasat oleh pihak berkuasa.