4 saudara baru terima hidayah

4 saudara baru terima hidayah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT – Sinar Islam terus berkembang di bumi Brunei Darussalam apabila empat orang, iaitu seorang lelaki dan tiga orang perempuan telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait di sini, baru-baru ini.

Saudara-saudara baru tersebut ialah seorang wanita berbangsa Cina, Chan Hui Chiun, 33, yang telah memilih nama Islamnya sebagai Dayang Nasha Stephanie binti Abdullah Chan dan seorang wanita bangsa Filipina, Gracel B Diola, 40, yang kini dikenali sebagai Dayang Hannah Natasha binti Abdullah Diola.

Manakala itu, dua orang ialah pasangan adik-beradik berbangsa Iban, iaitu Alessa Nabila anak Peter, 17, yang kini dikenali sebagai Dayang Nur Aleeysa Batrisya binti Abdullah Peter dan Alister anak Peter, 19,  yang memilih nama Islamnya sebagai Awang Wafeeq Zayd bin Abdullah Peter.

Majlis pengislaman tersebut telah disaksikan oleh Penolong Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan, serta beberapa orang pegawai unit dakwah tersebut.

Di akhir majlis, Hajah Salimah menyampaikan cenderahati kepada keempat-empat orang saudara baru berkenaan.

Majlis Pengislaman empat orang saudara baru diadakan di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.
Majlis Pengislaman empat orang saudara baru diadakan di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.

Bahagian Dakwah Daerah Belait, setakat awal bulan Januari sehingga 26 November, telah mencatatkan seramai 100 orang saudara baru yang menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu seramai 96 orang.

Melalui statistik tersebut, Bahagian Dakwah Daerah Belait telah mencatatkan jumlah tertinggi yang memeluk Islam pada tahun ini adalah daripada bangsa Iban yang sehingga setakat ini dicatatkan seramai 35 orang, diikuti daripada bangsa Dusun seramai 29 orang, sementara itu bangsa Cina seramai 16 orang, Filipina seramai 12 orang dan lain-lain enam orang.

Setiap mualaf yang baru memeluk agama Islam dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah, antaranya Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari dan Kursus Skim Bimbingan Asas 14 hari, dengan kedua-duanya diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, manakala itu, Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 dan 2 pula diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Kampung Pulaie, Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA