4 sebab institusi wakaf terus segar

4 sebab institusi wakaf terus segar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Wakaf dan Zakat merupakan dua instrumen Islam yang unggul dan telah wujud sejak zaman Rasulullah S.A.W di mana kedua-dua instrumen ini berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan umat Islam serta diakui sebagai tunjang kepada kejayaan jaminan sosial Islam.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Perdana Menteri, Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metusin bin Haji Baki berkata, banyak contoh telah membuktikan bahawa institusi wakaf dan zakat telah mengungkayahkan kejayaan-kejayaan khususnya perkembangan modal Islam seperti Universiti Al-Azhar Mesir dan lain-lain institusi pengajian tinggi.

Beliau menekankan perkara ini ketika membentangkan kertas perdana bertajuk ‘Perkembangan Wakaf dan Zakat dalam Pembangunan Ekonomi Islam’ pada Seminar Antarabangsa Pendidikan Syariah Fiqh Al-Iqtisad Al-Islami yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), pagi tadi.

Dalam pembentangannya itu, beliau turut menyentuh mengenai perkembangan institusi wakaf masa kini di mana pada akhir kira-kira tahun 2000, para intelektual Islam telah menyarankan supaya wakaf yang dahulunya menjadi tradisi umat Islam dihidupkan kembali dalam kalangan masyarakat menerusi pelbagai pendekatan termasuk seminar dan penyelidikan.

Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metusin semasa menyampaikan kertas perdana beliau.
Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metusin semasa menyampaikan kertas perdana beliau.

Terdapat sekurang-kurangnya empat sebab mengapa institusi wakaf tidak hilang tarikannya dan masih terus diamalkan oleh masyarakat Islam sehingga hari ini iaitu prinsip dan konsep wakaf yang bersumber daripada Al-Quran dan Al-Hadis; wakaf merupakan mekanisme yang penting dalam konsep sedekah; kepincangan sistem ekonomi dunia sekarang silih berganti; dan sistem kewangan Islam telah muncul di dunia dengan perkembangan yang drastik.

Berdasarkan faktor inilah, tekan beliau, yang telah mencetuskan keinginan mendalam dalam kalangan umat Islam yang membawa kepada pengenalan mekanisme wakaf yang lebih inovatif, kreatif, mudah diurus, merentasi pelbagai golongan masyarakat dan berpotensi menghasilkan perkembangan ekonomi ummah.

Menurut beliau lagi, bolehlah digambarkan banyak negara Islam telah menyedari kepentingan institusi wakaf ini sebagai sumber pembiayaan yang berpotensi untuk membiayai pembangunan masyarakat.

Selain itu, wakaf juga berperanan menggerakkan kegiatan ekonomi masyarakat melalui penyediaan pusat dan premis perniagaan, yang menurutnya, dengan adanya pusat dan premis perniagaan yang dibangunkan hasil dana wakaf atau di atas tanah wakaf, ia menambah potensi untuk melakukan aktiviti ekonomi dalam kalangan masyarakat.”

Wakaf juga berperanan dalam pembangunan ekonomi dengan cara menyediakan kemudahan-kemudahan kesihatan, pendidikan dan ibadat.

“Apabila masyarakat mendapat menerima rawatan kesihatan, pendidikan dan kemahiran, maka dari sudut insani ini bermakna mereka juga telah membangun. Ini kerana apabila mereka sihat dan terdidik serta mempunyai kemahiran, ia membuka peluang untuk meningkatkan juga taraf ekonomi keluarga mereka,” jelas beliau.

Ini kerana, tambah beliau, pembangunan ekonomi tidak sekadar diukur dari pembangunan bersifat fizikal, malah pembangunan insan juga merupakan sebahagian daripada keperluan dalam pembangunan ekonomi.

Kesimpulannya ialah wakaf sebagai satu ibadat yang digalakkan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan dalam masa yang sama wakaf berperanan dalam pembangunan ekonomi secara langsung.

ARTIKEL YANG SAMA