4 sekolah bolot pingat emas badminton

4 sekolah bolot pingat emas badminton

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Sekolah Rendah (SR) Dato Mohd Yassin, Mentiri, SR Sultan Umar ‘Ali Saifuddien (SUAS) Muara, SR Delima Satu dan SR Haji Mohd Salleh (HMS), Sungai Hanching masing-masing memenangi satu pingat emas daripada empat kategori dalam Kejohanan Badminton Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Brunei IIB 2016.

Aksi final keempat-empat kategori: perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki dan beregu perempuan itu telah berlangsung di Dewan Sekolah Sukan, Kampung Pulaie hari ini.

Final perseorangan lelaki menyaksikan Mohd Harry Zulqarnain bin Mohd Aleedris dari SR Dato Mohd Yassin, Mentiri menang perlawanan sengit dengan Khairul Azeemi anak Sulau dari SR SUAS, Muara dengan kiraan 22-20, 15-20 dan 21-11.

Perlawanan akhir perseorangan perempuan turut menyaksikan perlawanan diseret ke set penentuan yang dimenangi Nurul Sukriah Suriati binti Abdullah Herman dari SR SUAS, Muara dengan kiraan 21-8, 21-23 dan 21-7 ke atas Nur Qistina Syahirah binti Mustafa dari SR Serasa.

Beregu lelaki pula dijuarai gandingan mantap Mohd Mikael Hykal bin Mohd Safri dan Awangku Al-Harries Noor Daniel Danish bin Pengiran Noor Mehaly dari SR Delima Satu setelah menang 21-11 dan 21-14 ke atas wakil SR Orang Kaya Besar Imas (OKBI), Subok, Mohd Jaidi bin Bagol dan Mohd Zahidasmawi bin Shah Ruddin.

Pengiran Jusri (tengah) bersama para pemenang dari keempat-empat kategori.
Pengiran Jusri (tengah) bersama para pemenang dari keempat-empat kategori.

Mahirah binti Nordin dan Nur Khairiyah Batrisya binti Mohd Khairuddin Shah dari SR HMS Sungai Hanching menewaskan Nurul Ain Rabiatul binti Ismail dan Nurul Najla Syazwani binti Haji Ismail dari SR Serasa dengan kiraan 21-19 dan 21-8 untuk memenangi emas.

Para pemenang pingat gangsa kategori perseorangan dibolot oleh pemain SR Delima Satu iaitu Muhd Arif Ibrahimi bin Arisfadillah (perseorangan lelaki) dan Umi Aisyarinah binti Haji Zunait (perseorangan perempuan).

Gangsa beregu lelaki dimenangi SR HMS Sungai Hanching menerusi Awangku Mohd Waizzuddin bin Pengiran Hashim dan Zulfan Firosi Dzulfadhli bin Haji Didin, sementara gangsa beregu perempuan diraih SR SUAS, Muara melalui Nur Izzati Farwizah Safinas binti Mohd Izharuddin dan Dayangku Nur Atim Hamimah binti Pengiran Hamdani.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim.

Kejohanan merupakan aktiviti tahunan anjuran JPKK, Kementerian Pendidikan yang mana kejohanan di kawasan Brunei IIB tahun ini telah dikendalikan oleh SR Delima Satu.

ARTIKEL YANG SAMA