4 siswa UNISSA sertai kejohanan debat di Qatar

4 siswa UNISSA sertai kejohanan debat di Qatar

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Seramai empat mahasiswa Tahun 1 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai kejohanan Debat Bahasa Arab Antarabangsa yang berlangsung di Doha, Qatar pada 26 hingga 29 April yang lalu.

Mahasiswa-mahasiswa yang mengikuti kejohanan itu ialah Awang Muhammad Adika Yusra bin Mohd Yusof dari Program Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Awang Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin dan Dayang Nur Aqilah binti Juraimi, kedua-dua dari Program Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, serta Dayang Nur Amirah Afiqah binti Khairuddin, yang merupakan mengikuti Program Tafsir dan Hadith, Fakulti Usuluddin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, pasukan berkenaan telah berjaya mengikuti lima pusingan perlawanan, dengan pusingan pertama melawan Universiti Ahmad bin Mohammad, Qatar; kedua dengan Universiti Beirut Arabiyah, Lubnan; ketiga melawan Universiti Ummul Qura, Arab Saudi; keempat berdepan dengan Swansea University, United Kingdom dan seterusnya melawan Universiti Majma’ah, Arab Saudi.

UNISSA dalam kenyataan menyatakan, jemputan ini merupakan penyertaan pertama dari Negara Brunei Darussalam yang dibiayai oleh Pusat Debat Qatar.

Kejohanan pertandingan debat Bahasa Arab yang dianjurkan oleh Pusat Debat Qatar itu adalah di bawah naungan Timbalan Pengerusi Yayasan Qatar Pendidikan, Sains dan Perkembangan Masyarakat, Sheikha Hind binti Hamad Al-Thani.

pg09_150506_e

Debat ini telah mula dianjurkan pada 2011 dan seterusnya diadakan dua tahun sekali, dan penganjuran yang ketiga ini, senarai universiti yang mengikuti makin bertambah dengan 67 universiti dari 19 negara Arab dan 14 negara asing turut menyertainya.

Antara negara yang turut serta adalah Arab Saudi, Oman, Jordan, Kuwait, Palestin, Yaman, Sudan, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Holland, Jerman, China, Korea Selatan, Malaysia, Perancis dan Turki.

Antara objektif pertandingan ini adalah untuk menyediakan dan mempromosikan aktiviti debat ilmiah di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa bagi penuntut sekolah peringkat tinggi dan universiti di Qatar dan luar negara.

Turut sama dalam rombongan negara ialah Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, selaku ketua delegasi dan penasihat, serta Pengarah Pusat Penataran Ilmu Bahasa, Dr Salah Sebouai, sebagai pelatih.

Hasil dari penyertaan tersebut, mahasiswa-mahasiswi berkenaan telah berjaya menimba ilmu dan pengalaman dalam seni debat khususnya debat bersama penutur Arab.

Pada waktu yang sama, mereka juga berjaya menggunakan ruang dan peluang yang diberikan untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka berpidato dalam Bahasa Arab dan juga mempromosikan nama UNISSA ke peringkat Antarabangsa dan seterusnya memperlihatkan kesungguhan UNISSA dalam memartabatkan Bahasa Arab sebagai Bahasa Al-Quran dan sebagai bahasa penghantar bagi hampir semua program akademik yang ditawarkan di UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA