4 suspek lontar batu ditangkap

4 suspek lontar batu ditangkap

BAITULMUQADDIS, 27 Sept (AFP) – Polis Israel telah menangkap empat remaja Palestin kerana disyaki melontar batu ke arah kereta seorang Yahudi bulan ini yang mengakibatkan nahas maut dan membantu mencetuskan langkah baru menyasarkan pelontar batu.

Polis mengatakan lewat semalam empat suspek berusia 16 hingga 19 tahun itu adalah penduduk Sur Baher, daerah Palestin timur Baitulmuqaddis berhampiran tempat serangan berlaku pada 13 September semasa cuti Tahun Baru Yahudi Rosh Hashanah.

Batu-batu yang dilontar ke arah kereta Alexander Levlovich berusia 64 tahun, menyebabkannya membelok secara tiba-tiba dari jalan dan melanggar sebatang pokok. Dia meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang wanita mengalami kecederaan.

Sejurus selepas itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengunjungi tapak kejadian dan berikrar ‘perang’ ke atas pelontar batu.

Hari ini juga, berlaku pertempuran antara warga Palestin bertopeng dan pasukan keselamatan Israel di kawasan masjid Al-Aqsa Baitulmuqaddis pada hari terakhir cuti Aidiladha orang Islam, menurut polis.

Menurut kenyataan polis, seorang remaja Palestin ‘melontar batu dan mercun ke arah pasukan polis sempadan dan anggota polis,” yang bertindak balas dengan ‘maksud menyuraikan rusuhan’.

Kawasan itu bertukar tenang selepas itu dan kebanyakan polis sudah bersurai namun aktivis Arab Israel masih di dalam, lapor koresponden AFP.

Orang Islam telah diingatkan mengenai penambahan dalam lawatan oleh Yahudi itu dan bimbang peraturan pengawalan kawasan itu akan berubah.

Al-Aqsa, tempat suci ketiga dalam Islam, juga dihormati oleh Yahudi sebagai Kuil Gunung dan dianggap tempat paling suci dalam agama Yahudi.