4 terbunuh serangan di Almaty

4 terbunuh serangan di Almaty

ALMATY, Kazakhstan, 18 Julai – Tiga orang pegawai polis dan seorang awam terbunuh hari ini dalam serangan bersenjata ke atas balai polis dan pejabat perkhidmatan keselamatan di bandar terbesar Kazakhstan, Almaty, menurut kementerian dalam negeri.

Sebahagian bandar itu kini dikenakan perintan berkurung susulan insiden itu dengan seorang suspek ditahan dan pemburuan diteruskan bagi orang bersubahat yang masih lagi bebas, kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan.

Lelaki yang ditahan dituduh membunuh seorang penduduk tempatan semasa merampas kereta dan menyerang sebuah balai polis sekitar jam 11 pagi waktu tempatan, kemudian menembak seorang pegawai polis dan merampas senjatanya, menurut kenyataan itu.

Suspek itu kemudian menembak dua lagi pegawai ketika mereka memburunya sebelum dia ditangkap.

“Menurut maklumat awal, lelaki ditahan berusia 27 tahun dan pernah disabitkan jenayah,” kata kementerian, menambah bahawa dia ‘disyaki membunuh seorang wanita pada hujung minggu.’

Pegawai polis dan pakar forensik berdiri berhampiran mayat seorang pegawai polis yang terbunuh di Almaty, Kazakhstan, 18 Julai. Tiga orang polis dan seorang awam ditembak mati dalam serangan ke atas balai polis di bandar terbesar Kazakhstan itu. – AP
Pegawai polis dan pakar forensik berdiri berhampiran mayat seorang pegawai polis yang terbunuh di Almaty, Kazakhstan, 18 Julai. Tiga orang polis dan seorang awam ditembak mati dalam serangan ke atas balai polis di bandar terbesar Kazakhstan itu. – AP

Ia mengatakan polis kini sedang memburu ‘rakan jenayah’ lelaki itu. Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang polis dirawat di hospital.

Perkhidmatan antikeganasan negara mengeluarkan satu amaran ancaman merah berikutan serangan itu dan polis menyeru penduduk untuk tidak keluar rumah.

Seorang wanita tinggal di daerah Almalinsky, Almaty, di mana balai polis diserang, memberitahu AFP, situasi di bandar itu ‘amat tegang.’

“Saya tinggalkan daerah Almalinsky pada waktu pagi dan semuanya tenang. Sekarang saya tidak tahu bagaimana mahu pulang rumah,” kata Sholpan, 22, memberitahu AFP melalui telefon.

Beberapa buah kawasan di bandar itu turut ditutup termasuklah stesen kereta api bandar, menurut saksi memberitahu AFP. –AFP

ARTIKEL YANG SAMA