4 terkorban dalam nahas jalan raya

4 terkorban dalam nahas jalan raya

BANGKOK, 8 Jun (AFP) – Tiga orang wanita Hong Kong dan pemandu mereka warga Thailand terbunuh apabila van yang mereka naiki terbabas di lebuh raya dan merempuh sebatang pokok di tengah Thailand, menurut polis hari ini.

“Empat orang terbunuh, mereka adalah seorang pemandu warga Thailand dan tiga orang wanita dari Hong Kong,” Leftenan Polis Sayumpho Sittikul dari stesen polis Cha Am di wilayah Petchaburi, memberitahu AFP.

Tiga orang lagi warga Hong Kong, termasuk budak lelaki berusia 4 tahun tercedera dalam kemalangan itu yang berlaku sekitar 5 petang kelmarin.

“Keadaan mereka tidak kritikal,” Sayumpho berkata, dengan menambah kata bahawa para mangsa sedang dalam perjalanan menuju selatan untuk melawat rumah seorang anggota keluarga di wilayah Chumphon.

Gambar-gambar berita tempatan di tapak nahas berhampiran bandar peranginan tepi laut Hua Hing memperlihatkan van mini berwarna perak terbalik.

Mayat empat mangsa diletakkan di atas pengusung di tempat kejadian, muka mereka ditutup dengan kain putih.

Sayumpho berkata polis percaya van itu tiba-tiba membelok untuk mengelak sebuah kenderaan di hadapannya dan meluru ke arah kawasan tengah cerun sebelum merempuh pokok.

Jalan raya di Thailand adalah antara yang paling banyak mengorbankan nyawa di dunia dan kemalangan adalah lumrah.

Laporan baru-baru ini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata Thailand menyaksikan 38.1 kematian di jalan raya setiap 100,000 orang dalam tahun 2010 di belakang Republik Dominican dan Niue, iaitu pulau Pasifik Selatan.