4 termasuk wanita direman, dipercayai terlibat kes bunuh

4 termasuk wanita direman, dipercayai terlibat kes bunuh

SIBU, 6 Jan (Bernama) – Tiga lelaki dan seorang wanita direman tujuh hari bermula hari ini kerana dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki gelandangan yang dijumpai di tempat letak kereta di Jalan Pulau pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua suspek berusia antara 33 dan 53 tahun.

Menurutnya seorang daripada mereka ditahan di Terminal Bot Ekspres pada 11.50 pagi manakala tiga lagi di Jalan Tua Pek Kong pada 3 petang semalam.

Mayat mangsa yang dipercayai berusia 50an dijumpai di tempat letak kereta di belakang bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kesan pendarahan di belakang kepala dan lebam di muka oleh seorang pengawal keselamatan pada kira-kira 7.50 pagi.

Mohd Kamal berkata identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri dijumpai padanya.

Bagaimanapun, terdapat tatu burung enggang pada dada kiri dan tatu seorang wanita di lengan kanan mangsa yang hanya memakai seluar panjang berwarna gelap.

Orang ramai yang mengenali mangsa diminta menghubungi Balai Polis Pusat Sibu di talian 084-336144 atau mana-mana balai polis berhampiran.