4 usahawan sertai pertandingan AYCIF

4 usahawan sertai pertandingan AYCIF

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Empat usahawan kreatif Brunei bakal berlepas ke Jakarta, Indonesia, esok, bagi mengikuti Pertandingan Pameran Industri Kreatif Belia ASEAN (AYCIF), yang julung-julung kalinya diadakan, di Kota Tua, Jakarta, pada 29 dan 30 Ogos ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, pertandingan berkenaan akan diadakan bagi empat subsektor, iaitu filem/animasi, fesyen, permainan video/aplikasi dan kraf/reka bentuk produk.

Empat syarikat permulaan dan pertubuhan yang berjaya menjadi finalis bagi mewakili Brunei bagi setiap kategori ialah Itsybytes Company (kategori permainan video dan aplikasi), Dyvan Co (Kraf dan reka bentuk produk), Michaele and Stellars (fesyen) dan Megabond Sdn Bhd (animasi dan filem).

Pemenang setiap kategori dalam pertandingan di Jakarta itu akan berpeluang menjalani latihan bimbingan selama enam bulan.

AYCIF yang membawa tema ‘Mengambil Peluang-peluang dalam Keharmonian’ dilancarkan pada Februari lalu dan dihoskan oleh Jakarta, Indonesia sebagai permulaan dan dengan perkongsian Japan-ASEAN Coorporation.

Ia merupakan pertandingan untuk memperbaiki dan mengetengahkan peluang-peluang serantau dalam industri kreatif di seluruh ASEAN untuk mencari usahawan kreatif dalam kalangan negara anggota ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA