4 warga asing ditahan dalam Ops Kesan

4 warga asing ditahan dalam Ops Kesan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Empat orang warga asing termasuk dua orang perempuan telah ditahan dan ditahan sementara di Balai Polis Bandar Seri Begawan dalam Ops Kesan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di Mukim Kilanas dan Mukim Sengkurong, baru-baru ini.

Dua daripada mereka, seorang lelaki dan seorang perempuan, telah didapati tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh. Kedua-duanya telah ditangkap di bilik sewa yang berasingan di Mukim Kilanas.

JIPK dalam kenyataannya, hari ini, memberitahu bahawa kedua-dua warga asing berkenaan telah dihadapkan ke mahkamah semalam.

Asep Saepudin, 46, yang merupakan warganegara Indonesia telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan tiga kali sebatan atas kesalahan tinggal lebih masa selama 227 hari.

Pegawai bertugas membuat tapisan dan menyoal siasat seorang perempuan warga asing.
Pegawai bertugas membuat tapisan dan menyoal siasat seorang perempuan warga asing.
Pegawai bertugas membuat catatan ke atas seorang lelaki pesalah Imigresen.
Pegawai bertugas membuat catatan ke atas seorang lelaki pesalah Imigresen.

Manakala itu, Nani Mulyanti, 48, juga warganegara Indonesia pula dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan dan denda $600, namun dia gagal membayar denda oleh itu dia dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan atas kesalahan tinggal lebih masa selama 434 hari. Hukuman kedua-duanya berkuat kuasa semalam (31 Ogos 2016).

Sehubungan itu, bagi menyokong usaha penguatkuasaan di negara ini, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang dan Tapisan Keselamatan, JIPK mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA