40 askar Yama...

40 askar Yaman maut

ADEN, 18 Dis – Seorang pengebom berani mati dari kumpulan Islamic State (IS) telah membunuh kira-kira 40 askar Yaman di Aden hari ini, yang terbaru dalam siri-siri serangan bom maut ke atas rekrut-rekrut di bandar kedua negara yang dicengkam peperangan itu.

Para pegawai tentera dan paramedik berkata ramai lagi tercedera dalam serangan yang menyasarkan sekumpulan ramai tentera yang berhimpun untuk mengambil gaji mereka berhampiran sebuah pangkalan di timur laut Aden.

“Bilangan mereka yang terkorban mencecah seramai 40 orang dengan kira-kira 50 lagi cedera,” kata ketua kesihatan Aden, Abdel Nasser al-Wali kepada AFP, menambah bahawa jumlah kematian kelihatan akan meningkat akibat ‘kes-kes kritikal’.

Paramedik pada awalnya memberi jumlah terkorban seramai 30 orang.

Serangan itu dijalankan oleh seorang pengebom berani mati yang meluru di antara tentera-tentera yang berhimpun di luar rumah ketua pasukan keselamatan khas di Aden, Kolonel Nasser Sarea, di Daerah Al-Arish, berhampiran pangkalan Al-Sawlaban.

Seorang warga Yaman menerima rawatan di sebuah hospital di Aden pada 18 Disember, selepas seorang pengebom berani mati menyasarkan sekumpulan askar di pangkalan al-Sawlaban. – AFP
Seorang warga Yaman menerima rawatan di sebuah hospital di Aden pada 18 Disember, selepas seorang pengebom berani mati menyasarkan sekumpulan askar di pangkalan al-Sawlaban. – AFP

Sarea berkata pengebom itu ‘mengambil kesempatan daripada perkumpulan itu dan meledakkan bahan letupannya dalam kalangan mereka’.

Imej-imej dari tempat kejadian letupan itu menunjukkan kesan darah dan kasut yang berselerak di kawasan berpasir.

IS mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu, mengatakan dalam satu kenyataan bahawa seorang ‘pencari syahid’ telah menyeludup masuk ke tempat pemeriksaan keselamatan sebelum meletupkan dirinya.

Serangan itu berlaku lapan hari selepas pengeboman serupa di Al-Sawlaban yang mana pasukan pejuang Islam IS mengaku dalangnya dan telah membunuh 48 orang tentera dan mencederakan 29 orang lagi.

Pihak berkuasa Yaman telah bertempur dalam kempen berbulan-bulan lamanya memerangi kumpulan jihad yang masih lagi aktif di selatan dan timur negara semenanjung Arab yang miskin.

IS dan kumpulan pejuang saingannya, Pasukan Al-Qaeda telah mengambil kesempatan daripada konflik antara kerajaan dan pemberontak Huthi, Yaman yang menguasai bandar Sanaa, untuk mengukuhkan kehadiran mereka di kebanyakan kawasan di selatan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA