40 atlet Sarawak sertai Kejohanan BIMP-EAGA ke-9

40 atlet Sarawak sertai Kejohanan BIMP-EAGA ke-9

KUCHING, 1 Dis – Sarawak akan menghantar 40 atlet, tujuh jurulatih dan lima pegawai untuk menghadiri Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-9 di Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia dari 6 hingga 12 Dis ini.

Kontinjen Sarawak akan diketuai Setiusaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Negeri. Sarawak merupakan antara tiga pasukan yang mewakili Malaysia bersama Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pasukan lain terdiri daripada 15 pasukan daripada Indonesia, dua daripada Filipina dan masing-masing satu daripada Australia dan Brunei.Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata 12 acara akan dipertandingkan pada kejohanan itu iaitu futsal, sepak takraw, memanah, pencak silat, badminton, bola keranjang, olahraga, bola tampar, ping pong, tenis, karate dan golf.

“Sarawak akan menyertai tujuh acara seperti memanah, ping pong, olahraga, badminton, pencak silat, sepak takraw dan tennis,” kata Manyin kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Sarawak tidak menyasarkan sebarang pingat kerana kejohanan itu merupakan kejohanan persahabatan untuk mempromosi bidang ekonomi, pelancongan dan pelaburan di kawasan pertumbuhan Asia Tenggara Timur. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA