40 belia PBCTA terima sijil

40 belia PBCTA terima sijil

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seramai 40 orang belia dari Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) ke-11 menerima sijil penghargaan bagi penyertaan mereka dalam program itu.

Mereka menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

PBCTA yang bermula 1 Februari lalu diadakan dalam tiga fasa termasuk beberapa acara sampingan merangkumi Kem Kenegaraan Belia, Pelaksanaan Projek, Menyertai Perbarisan Lalu Sambutan Hari Kebangsaan ke-32, Majlis Khatam Al-Quran 32 kali sempena Hari Kebangsaan dan Majlis Penghargaan PBCTA11.

Persembahan daripada para peserta PBCTA 2016.
Persembahan daripada para peserta PBCTA 2016.

Ia bertujuan memberi peluang kepada para belia mengungkayahkan kegiatan-kegiatan patriotik dan kemasyarakatan dengan cara sukarela, meningkatkan nilai-nilai hidup bermasyarakat, beragama, bernegara serta berpasukan.

Selain itu, ia dihasratkan dapat membimbing belia melaksanakan kegiatan bersifat kenegaraan dan sukarelawan, menyemarakkan setia kawan, bergotong-royong dan saling membantu.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video PBCTA, persembahan nyanyian koir lagu patriotik dan ucapan wakil peserta PBCTA, Awang Mohd Adi Zulhakim bin Aidy Zahrin.

ARTIKEL YANG SAMA