40 juta pound untuk Kane

40 juta pound untuk Kane

LONDON, 17 Jun (Agensi) – Manchester United dijangka mengemukakan tawaran 40 juta pound untuk mendapatkan penyerang sensasi Tottenham Hotspurs, Harry Kane.

Pengurus Red Devils, Louis van Gaal menamakan penyerang muda England berusia 21 tahun itu sebagai sasaran utamanya dalam usaha untuk membawa United kembali menjadi pasukan digeruni dan merampas kejuaraan musim depan. Akhbar Britain, Daily Sport semalam memetik kenyataan sumber rapat United sebagai berkata: “Dia (Kane) adalah pemain yang kami mahukan, namun sehingga kini belum ada sebarang perkembangan.”

Difahamkan, United akan mengemukakan tawaran awal sebanyak 40 juta pound untuk mendapatkan bintang sensasi itu dan mereka yakin mampu memancingnya ke Old Trafford.

Pengerusi Tottenham, Daiel Levy sebelum ini berkata, mereka tidak akan mempertimbangkan sebarang tawaran untuk Kane kecuali ia menghampiri 50 juta pound. Kane sudahpun menandatangani kontrak jangka panjang di White Hart Lane pada Februari lalu.

United beralih kepada Kane selepas usaha untuk mendapatkan pemain muda sensasi Liverpool, Raheem Sterling tidak kesampaian kerana Reds enggan menjual pemain itu kepada musuh ketat mereka.

Kane mencuri tumpuan peminat bola sepak England selepas meledak 31 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. Dia kemudian disenarai dalam skuad kebangsaan England dan berjaya menjaringkan gol pertamanya hanya selepas 79 saat beraksi ketika dimasukkan sebagai gantian dalam pertemuan menentang Lithuania, Mac lalu.

Kane bagaimanapun menegaskan, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan Spurs, malah tampil sebagai model jersi baharu kelab itu, musim depan.

ARTIKEL YANG SAMA