40 keluarga dirai dalam Majlis Iftar ANNUR HARAPAN

40 keluarga dirai dalam Majlis Iftar ANNUR HARAPAN

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Sebanyak 25 buah keluarga asnaf mualaf dan 15 buah keluarga asnaf fakir miskin dan ibu tunggal diraikan dalam Majlis Iftar Barakah Ramadan ANNUR HARAPAN yang berlangsung di Dewan Pusat Dakwah Islamiah, di sini, hari ini.

Majlis ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Komuniti ANNUR HARAPAN dengan usaha sama Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam cawangan Daerah Brunei dan Muara dan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah sebagai sebahagian daripada Program Menyulam Barakah Ramadan ANNUR HARAPAN bersama Asnaf Mualaf dan Asnaf Fakir Miskin.

Pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah ANNUR HARAPAN, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit menyampaikan sumbangan berupa barangan asasi Ramadan dan keperluan sambutan Aidilfitri kepada asnaf mualaf.

Sumbangan tersebut adalah daripada Infaq Jariah ANNUR HARAPAN dan Projek Ikhlas Persatuan Bulan Sabit Merah.

Sementara itu, sumbangan untuk asnaf fakir miskin, dan ibu tunggal disampaikan oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa.

Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman menyampaikan sumbangan kepada salah seorang asnaf mualaf.
Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman menyampaikan sumbangan kepada salah seorang asnaf mualaf.

Semasa berucap di majlis itu, Hajah Siti Azizah menjelaskan, usaha yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan dalam sama-sama membantu golongan kurang berkemampuan semakin menyerlah terutama pada bulan Ramadan.

Beliau yang seterusnya berharap supaya banyak lagi badan bukan kerajaan akan tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, penerima sumbangan turut dinasihatkan untuk memanfaatkan sumbangan yang diterima dengan sebaik-baiknya dan bersyukur dengan pemberian itu dan banyak berdoa supaya Allah memberikan jalan untuk melepaskan diri daripada cengkaman kesempitan hidup.

“Ambil peluang hari-hari terakhir yang masih tersisa di bulan Ramadan untuk memperbanyakkan amal ibadah dan bermohon kepada Allah dengan kesungguhan hati supaya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan kehidupan,” tambah beliau lagi.

Majlis telah diteruskan dengan membaca doa tahlil dan arwah seterusnya berbuka puasa bersama-sama asnaf mualaf dan asnaf fakir miskin.

Antara tujuan majlis berkenaan adalah untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan berkongsi keceriaan dan barakah bersama mereka yang memerlukan.

Di samping itu, ia juga mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mengambil berat kebajikan masyarakat yang kurang bernasib baik di samping muhasabah diri dalam bermasyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA