40 murid semarakan Majlis Khatam Al-Quran

40 murid semarakan Majlis Khatam Al-Quran

Oleh Md Haslen

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Seramai 40 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Begawan Pehin Udana Khatib Haji Awang Umar, Kampung Setia telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.

Ketua Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Hajah Sinega binti Haji Swadi hadir selaku tetamu kehormat majlis. Turut hadir ialah Ketua Kampung Setia ‘A’, Haji Asli bin Haji Mamut.

Majlis pada hari itu dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dikepalai oleh tetamu kehormat majlis sebelum diikuti dengan bacaan surah-surah khatam Al-Quran dari Surah Ad-Duha sehingga Al-Lahab oleh para peserta.

Gambar ramai bersama tetamu kehormat, jemputan khas dan 40 murid yang diraikan.
Gambar ramai bersama tetamu kehormat, jemputan khas dan 40 murid yang diraikan.

Setelah itu, majlis disusuli dengan bacaan Takhtim oleh guru-guru dan murid-murid perempuan Darjah 3 hingga 5. Manakala itu, Doa Khatam pula dibacakan oleh Awang Mohd Wazien bin Haji Mahadini dan Doa Selamat dibacakan oleh Awang Mohd Bungsu.

Acara juga diteruskan dengan menabur bunga rampai kepada para peserta khatam oleh tetamu kehormat dan diikuti juga oleh para ibu bapa serta penjaga.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dikir yang dibawakan oleh para guru dan murid-murid lelaki Darjah 4 dan 5.

ARTIKEL YANG SAMA