40 NGO bantah pencerobohan Masjid Al-Aqsa

40 NGO bantah pencerobohan Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) – Ribuan anggota daripada lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan akan berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di sini Jumaat ini bagi membantah pencerobohan rejim Israel terhadap masjid suci Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Perhimpunan aman itu, yang dinamakan ‘Hari Kemarahan’, akan diadakan selepas solat Jumaat, menurut jurucakap Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Mohamad Raimi yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, berkata pada perhimpunan itu, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat, sekutu kuat Israel.

“Kita telah memaklumkan kepada pihak kedutaan mengenai perhimpunan aman itu dan telah membuat permohonan kepada Polis Kuala Lumpur untuk kebenaran menganjurkan perhimpunan itu. Setakat ini semuanya positif,” katanya dalam sidang media mengenai perhimpunan itu, di pejabatnya di sini, hari ini.

Sejak 24 Ogos lalu, Israel melakukan keganasan dan pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa termasuk menembak di dalam rumah ibadat itu serta cuba memisahkan ruang ‘ibadat dan masa’ antara orang Islam dan Yahudi.

Mohamad Raimi berkata melalui Kempen Selamatkan Al-Quds, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan kewangan hasil derma orang ramai kepada usaha pembelaan Masjid Al-Aqsa melalui ‘Tabung Baitulmaqdis’.

Pada sidang media sama, Timbalan Pengerusi Viva Palestina Malaysia Siti Jamilah Sheikh Abdullah berkata perhimpunan itu bukan saja boleh dihadiri oleh umat Islam malah penganut agama lain, terutamanya penganut Kristian.

Sidang media itu dihadiri wakil daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Penyayang Uswah, MyCare, Aqsa Syarif, HALUAN, Yayasan Al Quds Malaysia dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin.

Turut hadir, Exco Pemuda UMNO Armand Azha dan Setiausaha Lajnah Antarabangsa PAS Mohd Faiz Mohd Nawi.

ARTIKEL YANG SAMA