40 pasukan rebut Piala Keputeraan ke-70

40 pasukan rebut Piala Keputeraan ke-70

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Sebanyak 40 buah pasukan akan bersaing dalam Kejohanan Futsal Piala Keputeraan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun.

Pasukan-pasukan yang telah mengesahkan penyertaan masing-masing berkenaan telah dibahagikan kepada 10 buah kumpulan (A hingga J) dengan setiap kumpulan mengandungi empat buah pasukan.

Kumpulan A hingga E akan bermain pada 4 September ini dari pukul 8:30 pagi hingga 4 petang di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), sementara Kumpulan F hingga J dijadualkan berlangsung pada 18 September juga pada tempoh waktu dan tempat yang sama.

Menerusi pengundian yang telah dijalankan, Kumpulan A diisi oleh Al-Idrus FC, D’TA, MSPDB dan Waza U19, manakala Kumpulan B mengandungi Sahabat FC, Mixedstar FT, Surati FC dan Street United.

Terundi dalam Kumpulan C ialah Njoy FT, NJP FT, Atlas FT dan Rizfiz FT, manakala mengisi slot dalam Kumpulan D ialah Kota Junior, LSCB ‘B’, Clea’s ‘B’ dan Giovani ‘B’.

Para pengurus pasukan bersama Pengerusi Bersama Kejohanan dan AJK semasa Majlis Pengundian Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2016 berkenaan.
Para pengurus pasukan bersama Pengerusi Bersama Kejohanan dan AJK semasa Majlis Pengundian Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2016 berkenaan.

Akan bersaing dalam Kumpulan E ialah Shah United ‘A’, Qahar FT, Kheir FC dan Wonderers, sementara Syahkampong, Creativol, AJK dan Pega Star bertembung dalam Kumpulan F.

Kumpulan G akan menyaksikan persaingan antara Brunei 88, Giovani ‘A’, First Five dan LSCB ‘A’, sementara Shah United ‘B’, Clea’s ‘A’, JS FT dan Matahari FT berentap dalam Kumpulan H.

GG FT, Red Butterfly, Silveredz dan Eagle Blues membuat temu janji dalam Kumpulan I, manakala Politeknik, Arbisyam, PES dan ABC menutup tirai peringkat kumpulan dalam Kumpulan J.

Hanya dua buah pasukan terbaik daripada setiap kumpulan iaitu selepas melalui liga satu pusingan akan meneruskan cabaran di pusingan kedua, pusingan kalah mati yang dijadualkan berlangsung pada malam 18 September bermula pukul 7 malam.

Kejohanan kemudiannya akan disambung dengan perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir pada 24 September bermula pukul 7 malam hingga 10:30 malam.

Majlis pengundian di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Brunei dan Muara itu telah dipengerusikan oleh Pengerusi Bersama Kejohanan merangkap Penghulu Mukim Lumapas, Haji Bakar bin Mansor dan Pengerusi Bersama Kejohanan, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Selain piala iringan dan pingat bagi empat pasukan terbaik, kejohanan turut menjanjikan hadiah wang tunai $1500 untuk juara, $1000 untuk naib juara dan masing-masing $300 untuk dua pasukan yang memenangi tempat ketiga bersama (iaitu pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir).

Kejohanan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Kejohanan Futsal Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun, 2016 dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Kejohanan mendapat kerjasama dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

ARTIKEL YANG SAMA