40 pasukan sertai Piala Dunia 2026 – FIFA

40 pasukan sertai Piala Dunia 2026 – FIFA

MONTEVIDEO, 30 Mac (Reuters) – Pertambahan kepada 40 pasukan pada pusingan akhir Piala Dunia mungkin akan menjadi realiti pada tahun 2026, kata presiden baru FIFA, Gianni Infantino. Menurut Infantino yang berada di Uruguay untuk siri jelajah benua itu, Amerika Selatan akan mendapat lima tempat dalam kejohanan 40 pasukan berkenaan.

Infantino yang dilantik bulan lalu, mengulangi pendiriannya untuk menambah jumlah pasukan yang bertanding dalam kejohanan empat tahun sekali itu. “Kami perlu membuka (final) kepada lebih lagi.

Ia dijangka bermula pada tahun 2026,” kata Infantino.

“Kami akan berbincang dengan semua pihak mengenainya, pemain dan ahli majlis (FIFA).

“Ia bukan saja dapat memberikan peluang kepada lebih banyak pasukan untuk menyertainya, tetapi juga harapan kepada lebih ramai lagi untuk beraksi (di final).”

Sejak tahun 1998, pusingan akhir Piala Dunia menampilkan 32 pasukan dan juara, yang layak secara automatik sebagai juara bertahan, perlu kembali menyertai pusingan kelayakan sejak edisi 2006.

Infantino berkata dia tidak bercadang menukar polisi ini di bawah perancangan baru nanti.

Ketika ini Amerika Selatan mendapat empat tempat secara automatik dan satu lagi dalam playoff antara benua dalam kejohanan 32 pasukan itu.

“Cadangan saya untuk Amerika Selatan ialah lima yang tetap dan mungkin satu lagi untuk playoff,” katanya.