40 pelajar cemerlang Sabah terima biasiswa Petronas

40 pelajar cemerlang Sabah terima biasiswa Petronas

KOTA KINABALU, 9 Jun – Syarikat petroleum negara, Petronas hari ini menyampaikan biasiswa kepada 40 pelajar cemerlang Sabah di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) untuk tahun ini.

Pelajar terpilih berkenaan merupakan sebahagian daripada 391 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 yang turut mendapat penajaan Petronas bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing.

Biasiswa itu disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pada Majlis Anugerah Penajaan Pendidikan Petronas 2016, di sini. Musa, dalam teks ucapan yang dibacakan Masidi berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan inisiatif Petronas yang terus komited dan konsisten menunaikan tanggungjawab sosial korporat dalam pembangunan pendidikan di Sabah.

“Saya memuji komitmen tinggi Petronas kerana walaupun berhadapan dengan cabaran kelembapan ekonomi global berikutan penurunan harga bahan api dunia, Petronas tetap tidak mengabaikan kepentingan pendidikan dan masa depan pelajar di negeri ini menerusi pelbagai bantuan dan penajaan,” katanya.

Musa percaya, penajaan biasiswa pendidikan itu bukan sahaja memanfaatkan penerima dan anggota keluarga mereka, tetapi juga membawa erti dan makna besar dalam konteks pembangunan sumber manusia di Sabah secara keseluruhannya. – Bernama