40 pelajar program HLP terima sijil

40 pelajar program HLP terima sijil

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 22 Mei – Seramai 40 pelajar yang mengikuti program Human Library Project (HLP) sesi ke-5 telah menerima sijil masing-masing yang diadakan di Rumah Panjang Kampung Amo B, hari ini.

Sijil disempurnakan oleh Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pengiran Dr. Haji Muhammad bin Pengiran Haji Damit.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang disusuli dengan ucapan daripada Ketua Kampung Amo, Awang Ujan anak Muit.

Dengan penyampaian sijil-sijil itu, maka berakhirlah program yang telah diungkayahkan oleh tiga mahasiswa dan tiga mahasiswi dari UBD sejak Februari tahun ini, yang antara tujuannya adalah untuk memperbaiki kelemahan para pelajar dalam subjek-subjek tertentu.

Salah seorang mahasiswa UBD dalam ucapannya, berkata, sejak program itu ditubuhkan pada 10 Februari tahun ini, sambutan bagi HLP kali ini amat menggalakkan yang mana seramai 40 orang pelajar dari Kindergarten hingga Tahun 6 telah mendaftar.

Pengiran Dr. Haji Muhammad ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar HLP.
Pengiran Dr. Haji Muhammad ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar HLP.
Antara ibu bapa, penjaga dan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.
Antara ibu bapa, penjaga dan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.
Antara ibu bapa, penjaga dan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.
Antara ibu bapa, penjaga dan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.

Program HLP itu merupakan projek semester mahasiswa UBD selama tiga bulan dengan kelas-kelas malam diadakan setiap hari Isnin hingga Khamis dari jam 7:30 malam hingga 9 malam di Ruang Legar (Ruai) Rumah Panjang Kampung Amo B.

Sementara bagi tingkatan menengah ia diadakan setiap Rabu dan pada Jumaat kelas itu dikhususkan untuk kegiatan bertema.

Menurutnya lagi, tujuan HLP itu diadakan adalah bagi mendorong para pelajar untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam pembelajaran terutama bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris dan secara tidak langsung ia dapat membantu meningkatkan lagi prestasi kerja sekolah mereka.

Majlis yang turut dihadiri para ibu bapa, penjaga pelajar serta penduduk Rumah Panjang Kampung Amo dan sekitarnya itu turut diserikan dengan persembahan daripada pelajar HLP yang telah mendapat latihan daripada salah seorang mahasiswi UBD di samping beberapa pertunjukan yang mencuit hati.

ARTIKEL YANG SAMA