40 peniaga di Festival Barakah

40 peniaga di Festival Barakah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Sebanyak 40 pengusaha tempatan dan dari Malaysia mengetengahkan fesyen Muslimah masing-masing pada Festival Barakah yang berlangsung di Tarindak D’Seni, Bangunan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan, di ibu negara bermula hari ini hingga 27 Disember.

Pelakon terkenal Malaysia, Fazura turut hadir sebagai Duta Festival Barakah ini bagi menyokong dan memeriahkan lagi suasana festival berkenaan dengan sesi perjumpaan dan bergambar bersama para peminatnya.

Fazura turut mempromosikan produk beliau iaitu House of Doll dan Mystical by Fazura di festival berkenaan.

Ditanya mengenai perasaan beliau sebagai duta festival ini, Fazura ketika ditemui berkata, “Alhamdulillah kerana dipilih sebagai Duta Barakah Festival ini. Saya berbesar hati dan bersyukur serta sangat teruja berada di sini untuk berjumpa dengan peminat-peminat saya, kawan-kawan baru dan juga mengongsikan Mystical by Fazura serta koleksi jubah terbaru kami daripada House of Doll.”

Salah seorang dari peniaga yang menjual barangan berasaskan kecantikan.
Salah seorang dari peniaga yang menjual barangan berasaskan kecantikan.
Pelakon terkenal Malaysia, Fazura yang juga Duta Festival Barakah berada di sini untuk memeriahkan lagi festival yang berlangsung di Tarindak D’Seni, di ibu negara bermula kelmarin sehingga esok (27 Disember).
Pelakon terkenal Malaysia, Fazura yang juga Duta Festival Barakah berada di sini untuk memeriahkan lagi festival yang berlangsung di Tarindak D’Seni, di ibu negara bermula kelmarin sehingga esok (27 Disember).

Walaupun sudah beberapa kali datang ke Brunei, namun ini yang paling bermakna buat beliau kerana ini merupakan kali pertama datang bagi mempromosikan produk beliau sendiri dan sebagai duta festival tersebut. Hari ini merupakan hari terakhir beliau berada di Brunei sebelum pergi ke Johor, Malaysia oleh sebab komitmen lain.

Mermaid Luxe daripada Liyana Jasmay, Sharabangsar daripada Puteri Sarah Liyana, My House of Doll daripada Fazura, Butik Poya, Butik Faiz, My Diras, Ashakarim Collection, Blubelle dan Forest Colour merupakan antara peniaga-peniaga dari Malaysia yang turut berniaga di festival berkenaan. Manakala itu, peniaga-peniaga dari Brunei yang menyertai festival tersebut termasuk Artsyglam, Tudung peoplebrunei, Shawlbyvsnowbn, Anggunayuboutique, Juniehk_, Azkaeshoppe, Annanooroffical, Bokittahijab brunei, Naelofar-hijabbrunei, Simiggle-brunei, Butik Noradlina dan banyak lagi.

Antara peniaga yang menyertai jualan pada festival tersebut.
Antara peniaga yang menyertai jualan pada festival tersebut.
Orang ramai ketika mengunjungi festival berkenaan.
Orang ramai ketika mengunjungi festival berkenaan.

Penganjur Festival Barakah yang juga merupakan pemilik Artsyglam dan pemilik Shawlbyvsnow ketika ditemui berkata, ini merupakan kali ketiga mereka menganjurkan festival seperti ini, dan sebagai usaha bagi menjayakan festival ini, mereka telah pergi ke Kuala Lumpur, Malaysia untuk berjumpa dengan para pengusaha serta persediaan ini memakan masa selama tiga bulan.

Festival selama tiga hari ini, dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam bagi hari Sabtu dan Ahad ini. Penganjurannya antara lain bertujuan menyediakan platform kepada pengusaha-pengusaha tempatan dan dari Malaysia mengeratkan silaturahim sesama mereka dan membantu para pengusaha dalam talian mengembangkan perniagaan mereka.