40 penuntut ALAF ikuti Bengkel Bijak Bestari

40 penuntut ALAF ikuti Bengkel Bijak Bestari

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunannya setiap penggal cuti persekolahan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengadakan Bengkel Pembelajaran Pintar bagi pelajar-pelajar BIBD ALAF yang telah berakhir hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup bengkel berkenaan ialah Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan. Turut hadir ialah guru-guru petugas ALAF, warga pengurusan dan kakitangan BIBD.

Majlis berkenaan turut menyaksikan perbincangan motivasi dan diakhiri dengan penyampaian sijil kepada penuntut-penuntut ALAF, sukarelawan dan pemudah cara bengkel yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Dengan tema ‘Bengkel Bijak Bestari’, bengkel tiga hari itu telah disertai oleh seramai 40 orang penuntut ALAF daripada peringkat sekolah rendah sehingga sekolah menengah, dan dibantu oleh Silva Method Malaysia, menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD.

Bengkel melibatkan berbagai-bagai aktiviti menerusi siri taklimat dan latihan minda yang bertujuan untuk mengajar teknik-teknik bagaimana menggunakan minda mereka secara lebih berkesan untuk mengaktifkan bahagian-bahagian minda, sementara belajar untuk berfikir, percaya dan bersikap dengan cara yang akan menarik lebih banyak apa yang mereka mahu lakukan sepanjang pengalaman hidup mereka.

Gambar ramai bersama para penuntut ALAF yang menyertai Bengkel Pembelajaran Pintar anjuran BIBD.
Gambar ramai bersama para penuntut ALAF yang menyertai Bengkel Pembelajaran Pintar anjuran BIBD.

Program juga mengajar para penuntut untuk menyerap dan menyusun maklumat yang tepat dengan berkesan, dan meningkatkan kejelasan cara pemikiran ketika berada di bawah tekanan.

Selain itu, intipati program adalah untuk mendidik dan mengubah pemikiran penuntut untuk belajar dengan lebih bijak, dengan panduan bermaklumat dan berfungsi bagi mencapai keputusan cemerlang, yang dikhaskan bagi penuntut-penuntut di seluruh dunia.

Haji Minorhadi dipetik menyatakan; “Kami berharap penuntut-penuntut ALAF akan mendapat manfaat daripada program pembangunan ini seperti menggunakan teknik ulang kaji yang efektif di sekolah mahupun di rumah untuk membantu mereka menghadapi peperiksaan bagi mencapai keputusan baik”.

Tambahnya, BIBD akan meneruskan program relevan yang boleh membantu membangun keyakinan pelajar, meningkatkan kemahiran komunikasi dan pembelajaran, pada waktu yang sama memupuk kepentingan pendidikan dan peluang meneruskan pembelajaran mereka dengan bantuan ALAF.

Melalui ALAF, BIBD berharap untuk menyokong Wawasan 2035 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan untuk mencapai 100 peratus pendidikan bagi mengurangkan kemiskinan dan menuju ke arah negara yang lebih makmur dan aman, dan menjadikan rakyat negara ini berpendidikan, berkemahiran tinggi dan Berjaya.

ARTIKEL YANG SAMA