40 peserta ikuti Bengkel Kewartawanan

40 peserta ikuti Bengkel Kewartawanan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 20 Mei – Lebih 40 orang peserta, terdiri daripada pelajar, ahli-ahli persatuan dan orang perseorangan menyertai Bengkel Kewartawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Belait (PEMBELA) bagi mencambah minda dan pencerahan terhadap peranan media dan penulisan.

Bengkel tiga hari yang turut mendapat sokongan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri itu diadakan selama tiga hari, bermula hari ini, di ruang Sentral Hotel Kafe, Pusat Membeli-belah KBSentral, di sini.

Yang Di-Pertua PEMBELA, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr Haji Harun semasa ditemui media menjelaskan, bengkel tersebut bukan saja difokuskan untuk pengetahuan dalam bidang kewartawanan tetapi juga meliputi bidang penulisan secara menyeluruh.

Ini terutama sekali memberikan peluang kepada pesertanya untuk mengetahui dari segi teknik menulis sebelum mereka secara serius menceburkan diri dalam bidang berkenaan yang juga boleh digunakan dalam bidang lain.

Antara peserta yang menyertai Bengkel Kewartawanan terdiri daripada kalangan para penuntut, ahli-ahli persatuan dan orang-orang perseorangan.
Antara peserta yang menyertai Bengkel Kewartawanan terdiri daripada kalangan para penuntut, ahli-ahli persatuan dan orang-orang perseorangan.

Bengkel tersebut diisikan dengan beberapa ceramah antaranya ‘Mencari Peluang’, ‘Penyelidikan dan Kemahiran Temu ramah’, ‘Garispandu Permohonan Lesen Penerbitan Majalah dan Suratkhabar serta Garis Panduan Permohonan bagi Mendapatkan Kebenaran Menggunakan Logo/Lambang’, Kewartawanan Melalui Siber dan Media Sosial’, ‘Perancangan Buku’, ‘Penjualan Yang Baik, atau Jadikan Kerja Menjadi Perhatian’ dan ‘Inspirasi Dalam Penulisan’ yang disampaikan oleh pelbagai pihak kerajaan dan swasta yang berkaitan termasuk Borneo Bulletin dan Media Permata.

Ia juga dirancang akan diteruskan lagi di daerah-daerah lain, sepertimana yang telah menjadi permintaan dalam kalangan ramai penduduk daerah lainnya.

Projek ini merupakan inisiatif daripada salah satu Biro di bawah Jawatankuasa Tadbir Biro Pendidikan dan Penyelidikan, PEMBELA yang mendapati masyarakat kini sangat berminat untuk memperolehi fakta dan mengetahui maklumat melalui pelbagai bentuk media massa.

ARTIKEL YANG SAMA