40 rumah setinggan di Tawau musnah dijilat api

40 rumah setinggan di Tawau musnah dijilat api

TAWAU, 6 Jun – Sebanyak 40 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Abdul Rahman, Kilometer 8, Jalan Apas, di sini malam tadi.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Faisal Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11:26 malam sebelum mengerahkan empat jentera dan 28 anggota ke lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal daripada merebak pada 12.53 tengah malam dan dipadam sepenuhnya pada 6.06 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Seorang penduduk Kampung Pisang berusaha memadam api yang marak dalam satu kebakaran di kampung tersebut hari ini. Jumlah rumah yang musnah serta kerugian masih dalam siasatan. – Bernama
Seorang penduduk Kampung Pisang berusaha memadam api yang marak dalam satu kebakaran di kampung tersebut hari ini. Jumlah rumah yang musnah serta kerugian masih dalam siasatan. – Bernama

Sementara itu dalam kejadian berasingan, lima rumah setinggan turut musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Pisang, Jalan Utara, pagi tadi.

Faisal berkata pihak bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 10.59 pagi sebelum menghantar empat jentera berserta 23 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya lagi, api berjaya dikawal pada jam 11:46 pagi dan turut membantu dalam memadamkan kebakaran berkenaan ialah pihak polis, Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang ramai.

Menurut Faisal setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan, sementara punca kebakaran dan anggaran kerugian juga masih dalam siasatan. – Bernama