400 bertahlil di Kubah Makam Diraja

400 bertahlil di Kubah Makam Diraja

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja bersempena Sambutan Hari Guru ke-26 tahun 2016.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Bacaan Surah Yasin beramai-ramai bagi majlis berkenaan telah dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.

Seramai 400 orang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan termasuk guru-guru dari sekolah-sekolah, maktab, institusi pengajian tinggi dan teknikal di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU menghadiri majlis tersebut.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyertai Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil sempena Hari Guru.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyertai Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil sempena Hari Guru.
Antara para pegawai dan kakitangan termasuk guru-guru dari sekolah-sekolah, maktab-maktab, institusi pengajian tinggi dan teknikal daripada Kementerian Pendidikan dan KHEU menyertai majlis tahlil di Kubah Makam Diraja.
Antara para pegawai dan kakitangan termasuk guru-guru dari sekolah-sekolah, maktab-maktab, institusi pengajian tinggi dan teknikal daripada Kementerian Pendidikan dan KHEU menyertai majlis tahlil di Kubah Makam Diraja.

Majlis bertahlil ini merupakan sebahagian daripada kegiatan-kegiatan keagamaan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan dan KHEU.

Pada tahun ini, acara kemuncak Sambutan Hari Guru ke-26 akan diadakan pada 29 September bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Tema bagi sambutan tahun ini ialah ‘Guru Bijaksana Pembina Generasi Berwawasan’.

Majlis kesyukuran bersempena dengan sambutan ini pula akan diadakan pada esok (22 September) di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang akan diisikan dengan sembahyang fardu Asar berjemaah, bacaan Ratib Al-Attas, bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan.

Sementara itu, majlis kesyukuran bagi peringkat sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan KHEU seluruh negara akan diadakan secara serentak pada 1 Oktober di sekolah masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA