4,000 pengunjung dijangka datang

4,000 pengunjung dijangka datang

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 6 Mac – Seramai 4,000 orang pengunjung dijangka akan mengunjungi Freme Rainforest Lodge tahun ini berikutan penambahbaikan yang baru siap dilaksanakan di pusat rekreasi berkenaan dan telah beroperasi semula pada penghujung Disember lalu.

Pengurus Bahagian Inbound dan MICE, Syarikat Freme Travel, Sugumaran Nair semasa ditemui pada hari terakhir Pameran Pelancongan Belait RB di Pusat Insani, Seria, hari ini, menjelaskan anggaran itu dibuat hasil daripada catatan jumlah pengunjung tempatan dan luar negara yang menjangkau 2,500 hingga 3,000 pengunjung pada tahun-tahun sebelumnya.

Ditanya sama ada jumlah tersebut boleh meningkat lebih tinggi lagi apabila Jambatan Temburong yang akan menghubungkan kawasan Mengkubau dan Sungai Besar di Daerah Brunei-Muara dengan kawasan Labu Estate di Daerah Temburong siap, beliau berkata bahawa kemudahan akses tersebut merupakan perkembangan yang sangat baik bagi pengunjung-pengunjung tempatan.

Namun, beliau berpendapat, bagi pelancong-pelancong dari luar negara, Freme lebih suka untuk membawa mereka menggunakan pengangkutan bot dan melalui Sungai Brunei dari Bandar Seri Begawan untuk pergi ke Daerah Temburong.

“Dengan cara ini mereka (pelancong-pelancong dari luar negara) akan dapat menikmati pengalaman menyusuri perairan Kampung Ayer, menjiwai keindahan hutan alam semula jadi dan mengetahui dari sudut pandangan mata asal usul tradisi serta budaya negara ini,” tambah beliau lagi.

Sugumaran Nair ketika ditemu bual oleh pihak Media Permata.
Sugumaran Nair ketika ditemu bual oleh pihak Media Permata.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Freme sedang mempromosikan Freme Rainforest Lodge sebagai tempat destinasi menarik di Daerah Temburong, memperkenalkan pakej-pakej menarik serta menyediakan aktiviti-aktiviti mencabar untuk disertai oleh pengunjung yang ingin melakukan aktiviti sukan ekstrem.

“Di antara aktiviti-aktiviti sukan ekstrem yang boleh dilakukan bersama keluarga dan kawan-kawan adalah seperti aktiviti Flying Fox, menyeberangi jambatan bergantung sepanjang 70 kaki yang menyeberangi Sungai Temburong, melihat kehijauan hutan dari sudut paling atas dan boleh melihat jauh hingga ke Pekan Bangar.

“Serta memerhati burung-burung yang jarang dilihat atau ditemui dari dek pemerhatian khas khusus untuk penggemar ‘Bird-Watching’, menaiki menara abseiling di mana pengunjung boleh menaiki menara setinggi 12 kaki dan lain-lain aktiviti lagi yang boleh digunakan untuk pelbagai acara pembangunan pasukan korporat di sana seperti ‘kayaking’, ‘water-rafting’ dan menunggang basikal,” tambah beliau.

Freme Rainforest Lodge bermula dengan hanya dua buah bilik yang boleh menampung 18 orang sejak ia dibukakan kepada orang ramai pada tahun 2000 dan kini ia mempunyai lima buah bilik yang boleh menampung seramai 35 orang lengkap dengan kemudahan seperti katil yang diperbuat daripada kayu, kipas angin dan penghawa dingin, tempat mandi air panas serta sebuah teres tempat makan.

Menurut Sugumaran, Freme juga sedang dalam perancangan untuk membina sebuah chalet yang mempunyai unsur-unsur alam semula jadi yang menarik bertaraf tiga atau empat bintang yang bertemakan rumah panjang.

Ia ideal bagi pengunjung-pengunjung yang lebih ramai, dalam lapan buah bilik di atas tanah seluas dua hektar di suatu tempat di Daerah Temburong nanti.

“Pihak kami telah mengemukakan pelan tersebut kepada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan pada minggu lepas dan kini sedang menanti jawapan daripada pihak kementerian mengenai cadangan kami,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA