400kg dadah dirampas di Argentina

BUENOS AIRES, 23 Feb – Polis telah merampas hampir 400 kilogram dadah dari kedutaan Rusia di Buenos Aires dan memberkas lima anggota kumpulan pengedar dadah, kata Menteri Keselamatan Argentina Patricia Bullrich.

Bullrich memaklumkan sidang akhbar bahawa dadah itu ditemui di ruang tambahan kedutaan berkenaan yang bernilai kira-kira 50 juta euro (kira-kira AS$62 juta) di pasar gelap.

“Sekumpulan penjenayah narkotik cuba menggunakan perkhidmatan kurier diplomatik kedutaan Rusia untuk menyeludup dadah ke Eropah,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita bahawa polis Rusia dan Argentina telah memutuskan untuk melancarkan satu operasi penyamaran selepas duta Rusia memaklumkan mereka mengenai penemuan dadah itu pada Disember 2016. “Dadah tersebut telah diganti dengan tepung manakala peralatan pemantauan telah dipasang bagi memantau penghantaran 16 beg berisi dadah,” kata Bullrich.

Beliau berkata operasi penyamaran itu telah membawa kepada penahanan lima suspek, dua di Argentina dan tiga di Rusia. – Bernama