408 anak yatim terima sumbangan

408 anak yatim terima sumbangan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Seramai 133 orang anak yatim dari Mukim Kilanas dan 275 dari Mukim Sengkurong telah menerima sumbangan derma daripada YMRM Enterprise pada Majlis Penyampaian Derma Kepada Anak-anak Yatim yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong, di sini, petang ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan derma kepada para penerima ialah Penasihat Majlis Perundingan Mukim (MPM) Sengkurong, Dato Paduka Haji Puasa bin Orang Kaya Seri Pahlawan Tudin.

Sumbangan berupa kain daripada YMRM Enterprise berserta wang tunai itu turut disampaikan oleh Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir, Pemilik dan Pengurus YMRM, Ramesh Jiwatram Bhawnani dan Pengarah Urusan YMRM, Narrender JB.

Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim bagi Mukim Sengkurong dan Mukim Kilanas itu merupakan anjuran YMRM Enterprise dengan kerjasama Jabatan Daerah dan Brunei Muara, MPM Sengkurong dan Kilanas serta Sukarelawan Kedayan Jerudong.

Ia merupakan kegiatan kebajikan dan sosial tahunan YMRM yang bertujuan untuk membantu kelompok masyarakat yang memerlukan bantuan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang disampaikan oleh Haji Musa dan Ramesh Jiwatram Bhawnani di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong.
Sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang disampaikan oleh Haji Musa dan Ramesh Jiwatram Bhawnani di Dewan Kemasyarakatan Sengkurong.

Para penerima berkenaan dipilih menerusi kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara melalui penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di kedua-dua mukim.

Tahun ini merupakan tahun ketujuh berturut-turut YMRM Enterprise mengadakan majlis seumpamanya yang meliputi Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Temburong, dengan kali ini, YMRM Enterprise telah memilih tiga buah mukim di Daerah Brunei dan Muara sahaja untuk menerima bantuan berkenaan.

Majlis seumpamanya akan diadakan dalam waktu terdekat ini bagi penyampaian bantuan anak-anak yatim bagi Mukim Gadong A dan Gadong B.