41 kesalahan dikesan

41 kesalahan dikesan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Sebanyak 41 kes kesalahan lalu lintas dan satu kes jenayah cuba merasuah telah dicatatkan dalam operasi sekatan jalan raya seluruh negara Pasukan Polis Diraja Brunei dinamakan Operasi TEGAS 4, malam tadi.

Operasi berkenaan melibatkan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Daerah Polis Brunei dan Muara, Daerah Polis Belait, Daerah Polis Tutong dan Daerah Polis Temburong.

Di Daerah Brunei dan Muara, operasi turut dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Kawalan dan Lalu Lintas yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis, Mohd Fathdillah bin Haji Abdul Hamid dengan mencatatkan 15 kes tindakan kompaun dan 11 kes saman.

Sementara itu, Daerah Polis Brunei dan Muara (melibatkan Balai Polis Pusat, Balai Polis Berakas, Balai Polis Sengkurong, Balai Polis Limau Manis dan Balai Polis Kampong Ayer), yang diketuai oleh Timbalan Penguasa Polis, Handrie bin Haji Amin telah mencatatkan empat kes kompaun, tiga kes doket dan satu kes jenayah cubaan merasuah kerana tiada lesen memandu Brunei. Selain itu, sebanyak 12 peringatan 190 juga telah dikeluarkan kepada pemandu.

Anggota polis memeriksa kenderaan di kawasan Beribi.
Anggota polis memeriksa kenderaan di kawasan Beribi.

Di Daerah Belait pula, operasi melibatkan Balai Polis Kuala Belait dan Balai Polis Seria, yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis, Suzianti bin Haji Ahmad telah mencatatkan dua kes kompaun dan tiga pemandu ditegur supaya membuka tabir.

Manakala itu, Daerah Polis Tutong diketuai oleh Penolong Penguasa Polis, Dayangku Norazriani binti Pengiran Anuar melaporkan lima kes kompaun dan Daerah Polis Temburong yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis, Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail Al-Haj mencatatkan satu kes tindakan kompaun, satu peringatan dan 75 buah kenderaan diperiksa.

Kes-kes kompaun merangkumi kesalahan tayar nampak benang, tidak menampal cukai jalan, lampu plat lesen tidak menyala dan memasang lampu merah di hadapan.

Sementara itu, kes-kes saman yang telah dikenakan berkait dengan cukai jalan mansuh, lesen memandu mansuh dan memasang pelekat gelap.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang lalu lintas agar tindakan undang-undang tidak akan dikenakan ke atas mereka.

ARTIKEL YANG SAMA