41 murid cemerlang SSSRU dirai

41 murid cemerlang SSSRU dirai

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Julai – Seramai 41 orang murid cemerlang sekolah-sekolah agama yang mendapat keputusan Gred 1 Agregat 5 dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi Daerah Tutong, telah diraikan dalam majlis penyampaian hadiah pelajar cemerlang yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong, Kampung Serambangun Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah-hadiah ialah Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Rusita binti Haji Yahya.

Majlis petang itu turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 19 buah sekolah ugama di daerah ini yang mencatatkan 100% lulus dalam Peperiksaan SSSRU bagi tahun 2015.

Sebelum penyampaian hadiah, Hajah Rusita dalam ucapannya menekankan kepada penuntut-penuntut sekolah agama supaya akan dapat mengamalkan solat lima waktu kerana terdapat manfaat dan faedah dalam mengamalkannya.

Di samping, beliau juga menekankan dan menasihati agar penuntut-penuntut tidak melupakan amalan membaca Al-Quran sebagaimana yang telah pun diajarkan dari sekolah ugama; ini kerana amalan tersebut merupakan sumber inspirasi dan semangat dalam diri.

Hajah Rusita menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan SSSRU, petang kelmarin.
Hajah Rusita menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan SSSRU, petang kelmarin.

pg07_160722_b

Majlis telah menyaksikan Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini menerima hadiah sebagai Murid Cemerlang Keseluruhan Peperiksaan SSSRU 2015 dan Sekolah Ugama Penanjong sebagai sekolah yang mendapat keputusan terbaik keseluruhan dalam Peperiksaan SSSRU 2015.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Guru-guru Agama Daerah Tutong buat kali ketiga, majlis ini adalah sebagai menghargai pencapaian murid-murid dan sekolah-sekolah cemerlang dalam peperiksaan SSSRU.

Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menyuntik semangat pelajar-pelajar dan sebagai dorongan bagi generasi yang akan datang dalam melahirkan pelajar yang cemerlang di samping dapat menggalakkan guru-guru agar sentiasa berusaha dalam meningkatkan mutu pengajaran mereka dari masa ke semasa dalam usaha meningkatkan kemajuan pelajar-pelajar terutamanya akademik sekolah.

Selain itu, majlis tersebut akan dapat meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah terutamanya kepada guru-guru, serta dapat mengeratkan kerjasama dan perpaduan melalui sumbangan hadiah dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah ugama dan guru-guru.

ARTIKEL YANG SAMA