42 belia sertai Kursus Scaffolding ke-5

42 belia sertai Kursus Scaffolding ke-5

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Seramai 42 orang belia, baru-baru ini, telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Blue Oceanic Management Services bagi mengikuti Kursus Scaffolding ke-5 Pusat Pembangunan Belia (PPB) di majlis yang berlangsung di PPB, Jalan Utama Tanah Jambu, di sini.

Menandatangani perjanjian bagi pihak Blue Oceanic Management Services ialah Pengurusnya, Haji Rambli bin Haji Kikil dan disaksikan oleh Pemangku Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai PPB, pihak pengurusan Blue Oceanic Management Services, para ibu bapa dan penjaga belia berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Syarikat Blue Oceanic Management Services akan bertindak sebagai konsultan dalam kursus yang akan berlangsung selama enam bulan bermula 5 Oktober 2015 hingga 5 Disember 2015 itu.

Para pemohon kursus ini, terlebih dahulu perlu menjalani beberapa proses pemilihan sesi temu duga, pemeriksaan kesihatan dan mengikuti Program Jati Diri selama lima hari di Outwards Bound Brunei Darussalam, Temburong.

Mereka yang terpilih ini akan mengikuti Kursus Latihan Scaffolding (Level 1) dan (Level 2) secara intensif selama dua bulan di PPB manakala empat bulan mereka akan ditempatkan dengan syarikat-syarikat swasta bagi mengikuti Program Penempatan Kerja.

Penempatan ini bertujuan untuk memberikan mereka latihan praktikal tambahan dan pengalaman tentang kehendak industri dan polisi keselamatan serta penerapan untuk menjadi belia mahir yang komited, bertanggungjawab dan beretika.

Sebelum mengikuti penempatan kerja di syarikat swasta, mereka juga akan menduduki peperiksaan bertulis dan menjalani penilaian kemahiran praktikal untuk mendapatkan sijil-sijil pengiktirafan CIDB daripada Akademi Binaan Malaysia dan CITB daripada United Kingdom.

ARTIKEL YANG SAMA