42 masjid terima sumbangan Yayasan

42 masjid terima sumbangan Yayasan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Sebanyak 42 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul S.A.W bagi tahun 2015 berjumlah $35,550.

Sumbangan berkenaan telah diserahkan kepada imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan pada majlis yang berlangsung di Tingkat 4, Kompleks Yayasan, di ibu negara.

Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Sumbangan berkenaan adalah selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan dalam mempertingkatkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan Yayasan, sebanyak 15 buah masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan sebanyak $13,800, 14 buah di Daerah Tutong menerima sejumlah $10, 800, empat buah di Daerah Belait menerima $3,000, dan di Daerah Temburong sebanyak sembilan buah menerima sebanyak $7,950.

Haji Brahim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil penerima.
Haji Brahim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil penerima.

Sumbangan Yayasan ini juga adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Pada majlis yang sama, Kementerian Pendidikan turut menyampaikan sumbangan Bantuan Peralatan Persekolahan bagi tahun 2016 kepada 71 pemohon dengan keramaian 245 pelajar termasuk 102 pelajar peringkat menengah dan 143 peringkat rendah.

Sumbangan adalah berbentuk kupon bernilai $60 bagi setiap seorang dan 20 buah buku tulis daripada Yayasan dengan jumlah keseluruhan $20,516.85.

ARTIKEL YANG SAMA