42 sertai kursus Fiqh Jenayah Syariah

42 sertai kursus Fiqh Jenayah Syariah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri hari ini telah mengadakan Kursus Ulangkaji Fiqh Jenayah Syariah (sesi ketiga) yang telah berlangsung di Bilik Latihan Mahkamah-mahkamah Syariah, Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-mahkamah Syariah.

Kursus yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 20 Oktober itu disertai oleh 42 orang peserta yang terdiri daripada hakim-hakim Syarie, para pendaftar dan para pegawai Mahkamah-mahkamah Syariah.

Turut hadir menyertai kursus itu ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan juga Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Kursus ini dimudahcara oleh seorang fasilitator yang mempunyai kepakaran berkaitan kursus mengenai fiqh jenayah syariah, Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Al Fiqh, Universiti Islam Antarbangsa, Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Azman bin Mohd Noor.

Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim dan Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia  Ustaz Awang Haji Suhaili semasa hadir di kursus tersebut.
Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim dan Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Suhaili semasa hadir di kursus tersebut.
Antara para peserta kursus.
Antara para peserta kursus.

Kursus kali ini membincangkan fiqh jenayah syariah secara menyeluruh berkaitan dengan Qisas, Diyat dan Ta’zir dan mengaitkannya dengan prinsip undang-undang jenayah yang diguna pakai dalam Perintah Hukuman Jenayah Syariah 2013.

Kursus ini diharapkan dapat meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan para peserta mendalami undang-undang jenayah Islam dan menangani permasalahan berkait dengannya sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 untuk memantapkan lagi mutu penghakiman dan pengadilan di Mahkamah-mahkamah Syariah.

Kursus ini merupakan kesinambungan daripada Kursus Ulangkaji Fiqh Jenayah Syariah Sesi Pertama (Umum) yang telah diadakan dari 2 hingga 5 Februari 2015 dan sesi kedua (Berkaitan Hudud) yang diadakan dari 1 hingga 4 Februari 2016 yang lalu.

ARTIKEL YANG SAMA