427 anak damit terima Pek Awal Literasi

427 anak damit terima Pek Awal Literasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini telah menyampaikan Pek Awal Literasi bagi seramai 427 orang anak damit yang dijemput mengikuti Program Awal Literasi di Dewan Sejahtera 2, Sumbangsih Bahagia, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu, Datin Hajah Kalshom bin Haji Suhaili.

Pek berkenaan mengandungi beberapa buah buku seperti buku huruf ‘ABC’, buku kira-kira dan buku panduan yang diberikan kepada ibu bapa untuk menolong mereka sedikit sebanyak menambah pengetahuan yang berguna ketika membesarkan anak masing-masing.

Dengan pek yang diberikan kepada kesemua ibu bapa yang hadir itu akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan pengetahuan anak supaya menjadi lebih celik dan dapat menanamkan budaya membaca serta memberi pendedahan awal kepada anak-anak damit mengenai cara memilih bahan bacaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Program Awal Literasi diungkayahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Perpustakaan dengan kerjasama agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Tujuan program adalah untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah tentang kepentingan kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira dalam melahirkan masyarakat brunei yang berilmu, bermaklumat, berpengetahuan, berkualiti dan berdaya saing.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk membuka minda dan menimbulkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan membaca sejak kanak-kanak tersebut dilahirkan termasuk ahli keluarganya yang lain, di samping untuk sama-sama mengangkat peranan institusi keluarga dalam memperkasa budaya membaca sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan.

Majlis pagi tadi telah dimeriahkan dengan persembahan sketsa dan nyanyian lagu tema Program Awal Literasi berjudul “Bacalah” yang disampaikan oleh Dayang Syafiqah binti Rosli bersama Kumpulan Kuntum Bersemi.

Menurut kenyataan itu, tahun ini seramai 427 orang anak damit telah dijemput menghadiri acara ini berbanding tahun lepas iaitu seramai 356 orang..

Pemantauan program ini dijalankan sepanjang tahun bermula anak yang baru lahir hingga mereka berumur lima tahun. Pemantauan ini telah dijalankan pada 31 Mac dan 2 April 2016 di ruang kanak-kanak tingkat 1 Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Bandar Seri Begawan. Untuk mendapatkan maklumat terkini tarikh program pemantauan ini dijalankan boleh didapati di dalam laman sosial facebook Perpustakaan DBP.

ARTIKEL YANG SAMA