43 ahli kadet tamat kursus

43 ahli kadet tamat kursus

TEMBURONG, 5 Jun – Seramai 43 orang belia yang terdiri daripada ahli-ahli Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya menamatkan kursus selama tiga hari di Pusat Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), baru-baru ini sebagai sebahagian daripada program Kadet Tentera ABDB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kursus ini juga dihasratkan untuk meneroka serta meningkatkan kualiti kepimpinan, semangat kerja berpasukan, setia kawan, kepercayaan diri, disiplin yang tinggi, dengan akhlak dan keluhuran budi yang terpuji.

Di samping itu, bagi mengetahui peranan serta tanggungjawab sebagai seorang rakyat yang berwibawa lagi progresif semata-mata untuk menuju ke arah membela dan membangun agama, raja, bangsa dan negara.

Salah seorang ketua kumpulan peserta, Awangku Mohd Bazli bin Pengiran Abu Bakar berkata, selama menjalani kursus di sana, mereka telah dilatih untuk menerokai kelebihan diri sendiri melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan.

“Hasilnya kami terlihat menjadi lebih mandiri (berdikari) dan dapat mengenal diri masing-masing dengan lebih dekat lagi terutama dalam menerokai kelemahan/kekurangan dan kelebihan diri masing-masing untuk dijadikan panduan asas ke arah menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.”

Para peserta Kadet Tentera ABDB bergambar ramai bersama para jurulatih Pusat OBBD.
Para peserta Kadet Tentera ABDB bergambar ramai bersama para jurulatih Pusat OBBD.

Menurutnya lagi, pengalaman sepanjang menyertai kursus ini merupakan sesuatu yang menakjubkan dan tidak akan dilupakan kerana, walaupun ia banyak menguji ketahanan fizikal dan mental tetapi pengajaran yang diperolehi melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan sangat berguna untuk bekalan hidup mereka pada masa hadapan.

Pusat OBBD merupakan satu-satunya Pusat Pembangunan Jati Diri yang diiktiraf oleh Badan Outward Bound Antarabangsa yang terdapat di negara yang berorientasikan pendidikan ke arah membantu pelbagai lapisan masyarakat khususnya para belia dalam menanam, membina dan memantapkan nilai-nilai jati diri dan ciri-ciri kepimpinan mereka dengan menggunakan kaedah ‘Pembelajaran Melalui Pengalaman’ dan ‘Latihan Pengembaraan’ dalam persekitaran yang asing lagi penuh mencabar.

Program-program kursus yang terdapat di pusat itu juga lebih menekankan kepada aspek-aspek pembangunan Jati diri belia yang merangkumi ketahanan fizikal dan mental, kecepatan daya berfikir, menjalin hubungan setia kawan, berdikari, disiplin diri ke arah membantu negara ini bagi melahirkan belia-belia berjiwa besar, berdikari, mempunyai nilai patriotisme yang tinggi serta berguna kepada agama, bangsa dan negara bagi mencapai Wawasan Negara 2035.

Antara aktiviti-aktiviti yang dimuatkan dalam program-program kursus di pusat itu ialah kayak, abseiling, flying fox, solo night, pembangunan pasukan, rock climbing, jungle trekking dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, bagi belia-belia yang berhasrat untuk mengikuti atau menyertai program kursus ini bolehlah mengunjungi Peja-bat OBBD di Flat B9 Unit No.4 Tingkat 2, Flat Anggerek Desa Simpang 32-66, Berakas atau menghubungi talian 2383970/ 8732794/8951097 atau melalui e-mel obbd.kkbs@gmail.com atau layari Facebook di Outward Bound Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA