43 belia terima sijil

43 belia terima sijil

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Seramai 43 pelajar perempuan dari enam buah sekolah menengah di negara ini, menerima sijil Program Perkhemahan Belia ‘Hijrah Mahabbah Laillah’ pada majlis penutup program yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.

Program selama empat hari bermula pada 10 Julai hingga 13 Julai 2015 itu adalah anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang dikendalikan oleh Kumpulan Al-Qudwah sesi ketiga yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Pada majlis itu, sijil disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman dan turut hadir ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan pegawai utama UNISSA.

Program ini bermatlamat untuk mentarbiahkan belia mengikut manhaj (pendekatan Islamik) supaya ia dapat mencetuskan perubahan atau pembaikan dalam tingkah laku kepada yang lebih baik dan diredai Allah S.W.T.

Antara lain tujuan program dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan serta kesedaran kepada para belia sebagai persediaan untuk bekalan tidak hanya di dunia tetapi juga di akhirat serta sedia menggalas tanggungjawab dengan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini.

Salah seorang peserta program menerima sijil Program Perkhemahan Belia yang disampaikan oleh Awang Ahmad Jefri.
Salah seorang peserta program menerima sijil Program Perkhemahan Belia yang disampaikan oleh Awang Ahmad Jefri.
Antara mereka yang hadir di majlis penyampaian sijil Program Perkhemahan Belia.
Antara mereka yang hadir di majlis penyampaian sijil Program Perkhemahan Belia.

Selain itu, ia memberi peluang merapatkan dan mewujudkan kepentingan silaturahim dalam menjana usrah Islami serta tarbiyah sesama peserta untuk saling bertukar pandangan dan mengingati antara satu dengan yang lain supaya lebih bermotivasi dalam menuntut ilmu dunia dan ukhrawi.

Majlis diserikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kanan, Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Sekolah yang menyertai dalam program kali ini ialah Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, Sekolah Menengah Jamalul Alam, Sekolah Menengah Saiyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Saiyidina Hussien dan Sekolah Menengah Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA