43 korban ribut

43 korban ribut

DALLAS, 28 Dis – Ribut melanda Selatan, Barat Daya dan Barat Tengah AS pada cuti hujung minggu Krismas, mengakibatkan banjir dan puting beliung yang mengorbankan kira-kira 43 orang, meruntuhkan bangunan dan mengakibatkan pengangkutan sesak bagi berjuta-juta orang ketika waktu perjalanan sibuk.

Cuaca buruk atau ancaman darinya mengakibatkan gabenor Missouri dan gabenor New Mexico mengisytiharkan keadaan darurat bagi negeri-negeri mereka.

Banjir kilat telah membunuh kira-kira 13 orang di Missouri dan Illinois.

Di Missouri, para pekerja kecemasan telah memindahkan para penduduk dari rumah mereka dan melancarkan berbelas-belas penyelamatan di air, menurut Gabenor Jay Nixon semalam.

Menurutnya kira-kira lapan orang terbunuh dan beberapa jalan telah ditutup.

Nixon telah mengisytiharkan keadaan darurat, dengan mengatakan hujan berterusan akan mengakibatkan keadaan banjir yang telah pun meluas semakin teruk.

Tiga orang dewasa dan tiga orang kanak-kanak berada berhampiran kampung Patoka, Illinois, 137 km timur St Louis, Missouri, apabila kereta mereka dihanyutkan oleh air banjir pada malam Sabtu lalu, menurut Koroner Wilayah Marion, Troy Cannon.

Di Texas, kira-kira 11 orang terbunuh di kawasan Dallas pada hujung minggu akibat puting beliung, yang termasuklah yang membawa angin sehingga 322km sejam. Puting beliung itu melanda bandar Garland, membunuh lapan orang dan menerbangkan kenderaan keluar dari lebuh raya.

“Kemusnahan sama sekali,” jurucakap Polis Garland Leftenan Pedro Barineau berkata “Keadaan sangat sukar apabila dilanda oleh ribut dahsyat pada hari selepas Krismas.”

Tiga lagi kematian dilaporkan di kawasan metropolitan Dallas, kawasan keempat di AS yang paling ramai penduduk dengan kira-kira 7 juta penduduk.

Ramai orang tercedera di rantau itu dan para pegawai menganggarkan kira-kira 800 buah rumah mungkin telah rosak.

Puting beliung kuat adalah utama pada musim panas dan musim bunga di negeri-negeri tengah tetapi berlaku kurang kerap pada musim sejuk, menurut data cuaca AS. – Reuters