43 pelajar cemerlang Maktab SOAS dirai

43 pelajar cemerlang Maktab SOAS dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Seramai 43 orang pelajar terbaik Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) telah diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah Terbaik dalam Bidang Akademik bagi pelajar Tahun 9 hingga Tahun 11 dan Pravok bagi tahun 2016, hari ini.

Majlis yang berlangsung di dewan serba guna maktab berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi penghargaan kepada pelajar atas usaha mereka mencapai keputusan yang cemerlang dalam akademik seterusnya memberi galakan dan semangat untuk terus berusaha.

Penyampaian hadiah yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Terbaik Dalam Kelas, Terbaik Dalam Mata Pelajaran dan Terbaik Keseluruhan yang telah disempurnakan oleh Pengetua Maktab SOAS, Awang Zamain bin Abdul.

Penerima hadiah dalam Kategori Terbaik Keseluruhan bagi Tahun 11 ialah Awang Mohammad Zahin Habri bin Mohammad Arman, Terbaik Keseluruhan Tahun 10 ialah Awang Muhammad Hafiz bin Abdul Aziz dan Terbaik Keseluruhan Tahun 9 pula ialah Awang Muhammad Abdul Qabidh bin Haji Awang Alwi.

Majlis juga menyaksikan penyampaian hadiah kepada dua pelajar yang berjaya dalam Program Pravok, iaitu Awang Mohd Fahmi bin Sapar dan Awang Mohd Syahmi bin Haji Jumat.

Awang Zamain ketika menyampaikan hadiah kepada Pelajar Terbaik SOAS.
Awang Zamain ketika menyampaikan hadiah kepada Pelajar Terbaik SOAS.

Timbalan Pengetua (Akademik) Maktab SOAS, Awang Mohd Santra bin Bolhassan ketika ditemui memberitahu bahawa pencapaian keputusan akademik maktab pada tahun ini sangat membanggakan di mana ramai penuntut menerima hadiah pada tahun ini.

Katanya, mereka yang menerima hadiah di majlis itu adalah berdasarkan keputusan peperiksaan hujung tahun, sementara itu, bagi pelajar Tahun 11 berdasarkan peperiksaan kelayakan mereka.

Untuk mencapai sasaran keputusan di maktab ini, jelas beliau, beberapa program dilaksanakan iaitu untuk program akademik yang antaranya kelas tambahan dan bagi penuntut Tahun 11, Program Excellerator yang julung kalinya diadakan tahun ini.

Beliau menjelaskan, melalui Program Excellerator ini, penuntut dibahagikan mengikut mata pelajaran yang lemah seterusnya diajar mengikut topik yang lemah bagi memastikan mereka memahami pelajaran tersebut dan tidak menghadapi kesukaran semasa menduduki peperiksaan nanti.

Di samping memberi tumpuan program kepada penuntut Tahun 11, pihak maktab juga mengadakan program untuk penuntut tahun lain yang mana ini adalah sebagai persediaan awal sebelum menduduki peperiksaan penting seperti GCE Peringkat ‘O’.

Mohammad Zahin Habri, Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Tahun 11.
Mohammad Zahin Habri, Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Tahun 11.

Beliau juga menjelaskan, ibu bapa dan penjaga telah memberi kerjasama baik terhadap program yang dikendalikan oleh maktab walaupun kadang-kadang diadakan pada sebelah petang. Program ini dikenali dengan kelas tambahan yang memberi tumpuan kepada ulang kaji bagi kertas soalan peperiksaan yang lepas.

Program ini merupakan salah satu usaha maktab untuk membantu penuntut-penuntut supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan.

“Pihak maktab berharap agar para penuntut menggunakan masa dengan sebaiknya semasa berada di dalam sekolah dan semasa kelas tambahan yang diberikan. Ini adalah kerana mereka akan menjadi pelapis dan pemimpin untuk negara di masa akan datang,” tambahnya.

Dalam kesempatan itu, Media Permata berkesempatan menemu bual Pelajar Terbaik Keseluruhan Tahun 11, Mohammad Zahin Habri, 16, yang melahirkan hasrat untuk terus berjaya dan mencapai keputusan yang cemerlang.

Berkongsi kunci kejayaan sehingga beliau berjaya menjadi Pelajar Terbaik Keseluruhan pada tahun ini, katanya, beliau sering membuat ulang kaji pelajaran dan sentiasa menyiapkan segala tugasan sekolah yang diberikan oleh guru.

ARTIKEL YANG SAMA