43 pelajar keracunan makanan

43 pelajar keracunan makanan

TAPAH, 4 April (Bernama) – Seramai 43 orang pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Sains Tapah mengalami keracunan makanan selepas dipercayai memakan roti jala dan kari ayam di dewan makan asrama sekolah pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata makanan berkenaan dihidangkan sebagai juadah lewat malam oleh pihak pengendali dapur asrama.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 32 orang dirawat di Hospital Tapah sejak Ahad, 11 orang direhatkan di bilik rehat asrama manakala seorang lagi menerima rawatan di sebuah hospital swasta atas permintaan keluarganya.

Pihaknya dimaklumkan seramai 111 orang menikmati roti jala tersebut tetapi hanya 44 orang yang mengalami cirit-birit, muntah serta pening sejak pagi Ahad, katanya kepada pemberita semasa melawat dapur dewan asrama tersebut.

Beliau sebelum itu melawat mangsa di Hospital Tapah.

“Pengendali dapur telah diarah untuk memberhentikan operasi selama dua minggu dan kita telah mengambil 40 sampel terdiri daripada sampel peralatan dan makanan di dapur itu.

“Dalam lawatan ke dapur dewan, saya dapati beberapa kelemahan perlu diperbaiki antaranya keadaan peti sejuk yang tidak sejuk sehingga menyebabkan makanan mudah rosak,” katanya.