43 pelajar terpilih sertai PIP

43 pelajar terpilih sertai PIP

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

 

TEMBURONG, 2 Mac – Dengan pencapaian positif yang dicatat oleh murid dan pelajar dalam Program Intervensi Pendidikan (PIP), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang melaksanakan Projek Kelas Tuisyen di bawah PIP telah melanjutkan program itu ke Daerah Temburong.

Seramai 43 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar dari lima buah sekolah rendah di Daerah Temburong telah dipilih untuk menyertai program berkenaan dengan Pusat PIP Pertama bagi Daerah Temburong yang diadakan di Sekolah Rendah (SR) Rataie dan akan diadakan pada setiap malam Isnin dan Selasa bermula 7 Mac nanti.

Dalam hubungan itu, Yayasan telah mengadakan taklimat mengenai pelaksanaan program berkenaan bagi ibu bapa dan penjaga yang berlangsung di SR Rataie, hari ini.

Hadir pada majlis taklimat berkenaan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail yang juga menyempurnakan penyampaian sumbangan peralatan tuisyen kepada semua pelajar yang terpilih dalam PIP Daerah Temburong.

Pelajar-pelajar yang menyertai PIP Daerah Temburong itu terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 5 dan 6 dari SR Puni, SR Rataie, SR Selangan, SR Semabat dan SR Sultan Hassan.

Haji Brahim menyampaikan peralatan tuisyen kepada salah seorang pelajar.
Haji Brahim menyampaikan peralatan tuisyen kepada salah seorang pelajar.
Haji Brahim yang menghadiri majlis berkenaan.
Haji Brahim yang menghadiri majlis berkenaan.

Penerangan mengenai Projek Kelas Tuisyen PIP Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2016 kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar yang terlibat disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah dan Ketua Kluster 4, Kementerian Pendidikan, Hajah Mariam binti Haji Ladi.

Dalam taklimatnya itu, beliau menyentuh mengenai sejarah penubuhan PIP yang bertujuan untuk membantu dan membimbing murid dan pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah serta kurang berkemampuan untuk memastikan bahawa mereka dapat meneruskan pengajian mereka dengan sempurna hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau juga menerangkan bahawa program itu menekankan pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan masyarakat yang berpendidikan, berilmu dan bermotivasi serta berdaya saing untuk kemajuan negara.

Majlis juga mendengarkan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Ketua Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor.

Projek Kelas Tuisyen di bawah PIP itu merupakan salah satu inisiatif Yayasan membantu anak-anak yang dikenal pasti sebagai memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademik dan daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan serta memastikan anak-anak daripada keluarga yang dikenal pasti itu dapat meneruskan pengajian dengan sempurna hingga ke peringkat lebih tinggi.

Menyentuh mengenai sejarah penubuhan program berkenaan, pada 2006, di awal perlaksanaan PIP, ia disasarkan kepada pelajar-pelajar dari Kampung Bolkiah yang menuntut di sekolah-sekolah rendah di Kampong Ayer yang menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) sahaja.

Para pelajar lelaki yang terpilih menyertai PIP.
Para pelajar lelaki yang terpilih menyertai PIP.
Pelajar-pelajar perempuan yang terpilih menyertai PIP.
Pelajar-pelajar perempuan yang terpilih menyertai PIP.

Pusat PIP kemudiannya dipindahkan ke Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 2008.

Pada 2009, PIP memulakan program membantu pelajar bukan sahaja yang akan menduduki PSR, malah bagi mereka yang menduduki Peperiksaan SPE Tahun 8 dan peringkat Menengah 5 yang akan menduduki Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level.

Pada 2011, PIP meluaskan lagi skopnya kepada sekolah-sekolah di darat yang berdekatan dan masih menggunakan pusat tuisyen iaitu di Bangunan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Berakas, Sekolah Menengah Menglait, SR Pulaie, SR Anggerek Desa, SR Delima 1 dan SR Sultan Abdul Bubin Sungai Besar.

Pada 2013, PIP telah membuka pusat di Daerah Tutong iaitu di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dan tahun 2014 di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sementara itu, bagi Daerah Brunei dan Muara, Pusat PIP dilaratkan ke Sekolah Menengah Sayyiddina Hassan pada tahun 2014. Kini PIP telah mempunyai dua buah pusat di Daerah Brunei dan Muara dan dua di Daerah Tutong.

Pada 2015, sebagai kesinambungan kepada program itu, Yayasan meneruskan usaha untuk membantu anak-anak daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan di Daerah Belait.

Program PIP bagi Daerah Belait pada 2015 telah di ’outsource’ kepada beberapa pusat tuisyen swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan oleh kerana jumlah pelajar yang sedikit.

Walau bagaimanapun pada 2016, Pusat PIP Pertama bagi Daerah Belait telah ditempatkan di Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

ARTIKEL YANG SAMA