43 pesara terima penghargaan

43 pesara terima penghargaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Jasa dan sumbangan bakti sepanjang berkhidmat bagi seramai 43 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang bersara terus dikenang dan diberikan penghargaan dalam Majlis Doa Kesyukuran dan Penyampaian Sijil Pesara bagi Tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Perhubungan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil serta cenderahati penghargaan ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad, para pengarah bahagian, ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Pada majlis berkenaan, Pemangku Pengarah Pentadbiran & Perkhidmatan, Kementerian Perhubungan, Awang Tasad bin Haji Tamam dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa majlis itu adalah bagi mengenang jasa dan memberi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah bersara di Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya di atas segala sumbangan yang diberikan oleh mereka iaitu dalam bentuk tenaga, buah fikiran, sokongan moral, kewangan masa dan juga pengalaman.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan cenderahati kenangan dan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan cenderahati kenangan dan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima.
Antara pesara yang diraikan pada majlis berkenaan.
Antara pesara yang diraikan pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah amat bermakna, signifikan dan tinggi nilanya kepada kementerian serta juga kepada negara.

Beliau juga berharap, majlis itu dapat mengeratkan serta mengukuhkan lagi semangat kekeluargaan di antara sesama warga Kementerian Perhubungan.

Majlis kemudian berpeluang untuk mendengar ceramah motivasi khas yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, di mana ceramah itu diharap dapat membuka minda semua yang hadir untuk menghadapi realiti hidup setelah bersara serta sebagai pengajaran kepada semua.

Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyempurnakan penyampaian cenderahati kenangan dan sijil penghargaan kepada pesara yang diraikan itu.

ARTIKEL YANG SAMA