44 ahli PK menerima surat lantikan masing-masing

44 ahli PK menerima surat lantikan masing-masing

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Seramai 44 ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang dan RPN Kampung Panchor Mangkubau, Mentiri, baru-baru ini, telah menerima surat lantikan masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Balai Polis Muara, di sini.

Hadir bagi menyerahkan surat lantikan itu ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Inspektor Nur Adiba binti Mohamed.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Kapok Muara juga Pemangku Ketua Kampung RPN Kampung Meragang, Haji Marali bin Haji Ahmad dan Timbalan Pengerusi PK RPN Kampung Panchor Mangkubau, Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, acara diselajurkan dengan rondaan cegah jenayah yang dimulakan pada jam 10 malam bertempat di kawasan letak kereta peranginan RPN Kampung Panchor Mangkubau, kawasan Jalan Sungai Cerana, Jalan Bukit Sinadur, Jalan Tanjung Kudus, Jalan Tanjung Selasih, Jalan Bukit Pintagor dan Jalan Pandayan.

Rondaan dalam keadaan hujan menggunakan kereta dan berbasikal itu dibahagikan kepada empat kumpulan dan berakhir pada 12:30 tengah malam.

Walau bagaimanapun, sepanjang rondaan dijalankan tiada sebarang aktiviti jenayah atau perkara yang dicurigai dijumpai.

ARTIKEL YANG SAMA