44 maut dalam serangan besar IS

44 maut dalam serangan besar IS

QAMISHLI, Syria, 27 Julai – Letupan bom besar yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State (IS) telah membunuh kira-kira 44 orang dan mencederakan puluhan lagi hari ini di bandar Qamishli, Syria yang majoritinya Kurdish.

Ia adalah serangan maut dan terbesar yang melanda bandar itu sejak permulaan konflik Syria pada Mac 2011.

Media kerajaan Syria mencatatkan jumlahnya kepada 44 maut dan 140 cedera dalam pengeboman itu, yang menggegarkan daerah barat bandar itu tempat beberapa bangunan kerajaan Kurdish ditempatkan.

Pemantau Balai Cerap Hak Asasi Kemanusiaan Syria yang berpangkalan di Britain mencatatkan jumlahnya kepada 48 orang, menambah kanak-kanak dan wanita antara yang terbunuh.

Para pegawai Kurdish berkata serangan itu dilakukan oleh seorang pengebom berani mati yang memandu trak berisi bahan letupan.

Penduduk Syria berkumpul di tapak serangan bom di bandar Qamishli pada 27 Julai. – AFP
Penduduk Syria berkumpul di tapak serangan bom di bandar Qamishli pada 27 Julai. – AFP

Letupan itu pada awalnya digambarkan sebagai pengeboman berkembar, namun para pegawai tempatan dan Balai Cerap berkata bom itu telah diletupkan berhampiran kontena tangki minyak, membawa kepada laporan mengenai letupan kedua.

Seorang jurnalis AFP menyaksikan kejadian teruk selepas pengeboman itu, dengan orang awam yang tidak keruan, beberapa daripadanya berlumuran darah, terhuyung-hayang keluar dari runtuhan bangunan dan kereta-kereta yang terbakar.

Seorang lelaki berjalan di sepanjang jalan dengan lumuran darah, pakaiannya dibasahi warna merah.

Dia sedang memegang tangan seorang budak kecil yang wajahnya pucat dan berlumuran darah dan habuk.

Mereka berlari melintasi seorang wanita histeria yang menangis dan menjerit, pakaiannya koyak rabak.

Seorang budak lelaki dan perempuan berdiri di sebelahnya, kelihatannya terkejut.

Orang awam dan pasukan keselamatan dengan membawa senjata di belakang mereka membantu mengeluarkan mangsa terkorban dan tercedera dari runtuhan bangunan musnah. – AFP