44 pelajar cemerlang SR YSHHB dirai

44 pelajar cemerlang SR YSHHB dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Seramai 44 orang pelajar cemerlang Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) yang mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2015 dan lapan orang guru pengajar PSR 2015 telah diraikan pada Majlis Anugerah Guru dan Pelajar Cemerlang PSR 2015 yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah ialah Pemangku Penolong Urusan, Ketua Perundangan dan Hal Ehwal Korporat Agensi Pelaburan Brunei di Kementerian Kewangan, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman yang juga Ahli Lembaga Tadbir Sekolah YSHHB.

Dalam ucapannya, Awang Ahmad Jefri antara lain menekankan berkata penganugerahan dapat menjadi penyuntik semangat kepada warga sekolah untuk terus berusaha dalam mencapai kemajuan dan kejayaan dalam bidang pendidikan selaras dengan harapan negara dan Wawasan 2035.

Beliau turut melahirkan harapan agar penerima anugerah akan terus rajin belajar dan mengukir kejayaan untuk kejayaan agama, bangsa dan negara seterusnya menjadi model peranan kepada pelajar lain, baik dari segi akademik dan non akademik, disiplin diri dan akhlak yang sentiasa dijaga dan menjadi contoh.

Salah seorang pelajar menerima hadiah daripada Awang Ahmad Jefri.
Salah seorang pelajar menerima hadiah daripada Awang Ahmad Jefri.
Antara yang hadir pada majlis itu.
Antara yang hadir pada majlis itu.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa dalam zaman teknologi maklumat, kedudukan institusi sekolah menghadapi pelbagai cabaran disebabkan perkembangan ilmu pendidikan yang sangat cepat di samping jangkaan stakeholder yang semakin tinggi serta persaingan sengit dan kehendak globalisasi yang sentiasa berubah.

Sehubungan itu, beliau memberi harapan tinggi kepada pihak sekolah supaya sentiasa peka dan terus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Di samping dibantu dengan peningkatan kualiti dari aspek kemudahan, ‘teaching aids’ dan pendekatan serta model pengajaran dan pembelajaran yang lebih praktikal dan berkesan,” tambahnya.

Menurutnya lagi, peningkatan kemahiran dan pengetahuan guru-guru juga perlu dititik beratkan dan diambil kira dengan memberikan mereka peluang belajar dan menghadiri kursus yang terancang dan berkualiti supaya mereka dapat menimba ilmu dan kemahiran sejajar dengan perkembangan semasa.

Sementara itu, Pemangku Guru Besar SR YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali pula menjelaskan, pada tahun 2015, seramai 116 orang pelajar menduduki Peperiksaan PSR di mana keputusan pada tahun itu adalah ditahap sangat baik di mana sekolah mencapai keputusan 38 peratus.

“Pencapaian peratus gred A hingga C berjaya mencapai target yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, walaupun kedudukan sekolah pada kedudukan ke tujuh dalam kalangan sekolah swasta tapi ia masih di tahap yang terbaik,” tambahnya.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan koir dan persembahan tarian oleh penuntut sekolah tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA