44 peratus kes diabetes tidak didiagnosis

44 peratus kes diabetes tidak didiagnosis

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Hampir 50,000 daripada penduduk Negara Brunei Darussalam mengidap diabetes dan jumlah itu semakin meningkat dan terus menjadi salah satu punca utama kematian selepas barah dan penyakit jantung, di mana 12.4 peratus daripada orang dewasa mengidap diabetes.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zukarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena Hari Diabetes Sedunia 2016 berkata, kajian oleh Kementerian Kesihatan terhadap penyakit diabetes menunjukkan keadaan yang membimbangkan, di mana 44 peratus daripada kes diabetes di negara ini tidak didiagnosis. Ini bermakna lebih daripada 20,000 orang di negara ini hidup dengan diabetes tetapi belum mendapatkan khidmat kesihatan dan tidak tahu mereka mengalami penyakit itu.

Menerusi akses kepada penjagaan yang sesuai, pendidikan dan ubat-ubatan penting, kebanyakan mereka yang mengidap diabetes masih mampu menjalani kehidupan sepenuhnya.

Hari ini, Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara lain dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperingati Hari Diabetes Sedunia untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan mereka yang berdepan dengan cabaran dan kesukaran menghadapi diabetes, dan memberikan jaminan kepada mereka yang terjejas, pesakit dan anggota keluarga bahawa mereka tidak bersendirian menentang penyakit itu.

Diabetes berpunca daripada kandungan gula yang tinggi dalam darah dan jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan koma. Impak diabetes lebih tinggi daripada ketinggian paras gula dalam darah.

Dalam kalangan orang dewasa di negara ini, diabetes adalah punca utama kepada kebutaan, penyakit ginjal dan pemotongan sebahagian anggota badan. Orang yang dijangkiti diabetes juga mempunyai risiko mengalami serangan jantung dan strok dua hingga empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang sihat.

Sebab itu Kementerian Kesihatan menumpukan kepada pencegahan dan pengesanan lebih awal terhadap penyakit ini selaras dengan tema Hari Diabetes Sedunia ‘Perhatian untuk Diabetes’.

Fokus kementerian adalah untuk mempromosikan pentingnya pemeriksaan bagi memastikan diagnosis awal terhadap diabetes jenis 2 dan rawatan untuk mengurangkan risiko komplikasi serius.

Diabetes jenis 2 itu secara meluasnya dapat dicegah. Pengurusan berat badan merupakan usaha terbaik yang boleh dilakukan untuk menghalang perkembangan diabetes.

Langkah utama yang anda boleh lakukan terhadap diri anda dan keluarga untuk menghalang diabetes adalah memastikan pemakanan yang sihat, kerap melakukan senaman dengan memberikan tumpuan 30 minit aktiviti fizikal sederhana lima kali seminggu. Ini merupakan pilihan yang boleh dilakukan dan pilihan yang akan membantu anda untuk hidup lebih sihat.

Perkara paling penting yang anda boleh dilakukan jika berisiko mengalami diabetes akibat berat badan adalah pergi berjumpa doktor di pusat kesihatan bagi membincangkan kebimbangan anda. Jika anda didapati menghadapi diabetes, masih belum terlewat.

Penyakit ini boleh dikawal dengan mengurangkan berat badan menerusi pemakanan sihat, kerap melakukan senaman dan mengambil ubat (jika perlu), tetapi mengambil ubat juga tidak seharusnya dilihat sebagai lesen untuk terus mengamalkan diet yang tidak sihat.

Selaras dengan tiga keutamaan strategi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, menghalang dan mengawal penyakit daripada berjangkit, dan menyemai kesihatan adalah tanggungjawab semua, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan, sektor bukan kerajaan dan anggota kumpulan penyokong untuk terus terlibat dengan para pesakit dan orang ramai bagi menghalang, mengawal dan merawat kemunculan diabetes di negara ini.

Kementerian Kesihatan dalam perutusan sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini itu juga menegaskan komitmennya untuk meningkatkan kesedaran untuk mencuba dan mengurangkan bebanan diabetes.

Tidak diragui bahawa cara paling berkesan bagi menangani diabetes adalah untuk memulakan gaya hidup sihat. Pencegahan merupakan kunci dan menyampaikan pengetahuan kepada yang lain adalah penting untuk memenangi perjuangan ini.

ARTIKEL YANG SAMA