44 pesara KHEU dirai

44 pesara KHEU dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Seramai 44 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang telah bersara, diraikan pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-22 bagi tahun 2015 yang berlangsung di bangunan tambahan kementerian berkenaan, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang juga seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada pegawai-pegawai yang telah bersara dan para penerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-22 Peringkat Negara dan Anugerah Pekerja Cemerlang.

Terdahulu, Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Mohd Yussof dalam ucapannya berkata, persaraan dalam Perkhidmatan Awam merupakan satu terminal bagi menuju terminal selanjutnya dan ia bukanlah noktah penamat, tetapi sebaliknya ia membuka ruang dan peluang selangkah ke hadapan menuju satu destinasi dan pengalaman baru.

“Pengalaman dan pengetahuan yang biskita miliki terlalu bernilai serta berharga untuk dikongsikan kepada masyarakat dan pengalaman ini layak untuk dikongsi dan ditunjuk kepada generasi muda yang sangat memerlukan bimbingan dan sokongan generasi awal dan lama.”

Beliau seterusnya menambah, penyertaan aktif dalam apa juga bidang dapat membantu meringankan masalah yang ditanggung oleh masyarakat dan negara masa kini.

Salah seorang pegawai KHEU yang telah bersara menerima sijil dan cenderahati daripada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Salah seorang pegawai KHEU yang telah bersara menerima sijil dan cenderahati daripada Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan ucapan penghargaan.
Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan ucapan penghargaan.

Sementara itu, Pengarah Pentadbiran KHEU, Haji Zulkifli bin Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah juga menyeru jabatan-jabatan di bawah kementerian itu untuk terus mengambil langkah menilai semua perkhidmatan dalam jabatan, di mana Civil Service Review (CSR) merupakan salah satu kaedah pengurusan yang diperkenalkan dalam perkhidmatan awam dalam menilai perkhidmatan.

Beliau turut melahirkan harapan agar penerima Anugerah Pekerja Cemerlang ini akan menjadi contoh teladan serta menjadi motivasi kepada rakan sejawat yang lain.

Majlis tersebut bertujuan bagi menghargai dan mengenang jasa bakti pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan yang pernah bertugas dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, ia adalah untuk mengeratkan dan mengekalkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan yang masih berkhidmat di kementerian berkenaan dan yang telah bersara.